Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harga siling diperlukan untuk minyak masak dalam botol

Kerajaan wajar segera menetapkan harga siling minyak masak dalam botol untuk kegunaan tempatan bagi mengawal kenaikan harga melampau, kata penganalisis ekonomi Universiti Asia e, Prof Dr Shazali Abu Mansor.

Beliau berkata minyak masak merupakan bahan keperluan asas isi rumah dan antara bahan mentah utama bagi beberapa sektor ekonomi terutamanya segmen hotel, restoran dan kafe (HoReCa).

Menurutnya sebarang kenaikan harga secara mendadak akan memberi kesan langsung kepada orang ramai sekali gus menjejaskan perbelanjaan isi rumah serta peniaga.

“Harga perlu dikawal kerana ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pengguna akan mengurangkan perbelanjaan dan mula mencatu perbelanjaan lain bagi membeli minyak masak yang semakin mahal.

“Kenaikan tanpa kawalan harga minyak masak juga akan menimbulkan masalah lain seperti peniaga makanan menaikkan harga jualan susulan kos bahan mentah yang meningkat,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Shazali berkata demikian sebagai mengulas isu kenaikan harga minyak masak botol 2kg dan 5kg yang dikesan meningkat sejak beberapa hari lepas.

Dilaporkan harga minyak masak botol 2kg meningkat hingga RM12.50 berbanding antara RM9 dan RM10 sebelum ini, manakala botol 5kg naik hingga RM33.50 berbanding RM25 hingga RM28 sebotol sebelum ini.

Shazali berkata memandangkan Malaysia merupakan antara negara pengeluar minyak masak sawit terbesar dunia maka tidak munasabah sekiranya pengguna tempatan terpaksa menanggung beban kenaikan harga di pasaran global.

Sehubungan itu, Shazali mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengguna pakai sistem apungan terkawal seperti yang pernah dilaksanakan bagi menentukan harga petrol dan diesel.

Menurutnya satu harga maksimum perlu ditetapkan sebagai penyelesaian jangka masa panjang walaupun minyak masak dalam botol bukan barangan bersubsidi.

Selain itu, Shazali turut mencadangkan kerajaan melaksanakan cukai luar jangka ke atas syarikat pengeluar minyak sawit yang mengaut keuntungan tinggi berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah dunia ketika ini.

- Bernama