Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO gesa permudahkan SOP pengedaran bantuan makanan

Pertubuhan Peneraju Insan yang berpangkalan di Sungai Siput berkata bawah SOP terbaru semua NGO perlu mendapat kebenaran Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan pejabat kesihatan daerah.

Sebuah NGO hari ini menggesa kerajaan pusat agar mempermudahkan prosedur operasi standard (SOP) pengagihan bantuan barangan dapur kering dan masak kepada golongan miskin selepas mendakwa peraturan terbaru sebagai 'tidak masuk akal'.

Ini selepas Pertubuhan Peneraju Insan yang berpangkalan di Sungai Siput berkata bawah SOP terbaru semua NGO perlu mendapat kebenaran Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan pejabat kesihatan daerah sebelum membuat pengagihan barangan kering dan makanan.

Setiausahanya, Indrani Selvakumar berkata bawah SOP terbaru, semua pengagihan barangan dapur kering dan basah perlu mendapat kebenaran daripada PKOB terlebih dahulu.

"Sementara, bagi makanan yang masak, perlu membuat pemeriksaan di Jabatan Kesihatan daerah, termasuk tukang masak yang masak juga perlu tunjuk bukti bahawa dia telah menerima suntikan typhoid.

"Isunya, pemeriksaan PKOP mengambil masa sehingga tiga hingga empat hari. Manakala, bagi pemeriksaan di jabatan kesihatan makanannya menjadi sejuk.

"Apakah logik di sebalik SOP baru ini? Di luar sana, orang sedang menunggu bantuan segera kerana lapar. Tapi, agensi-agensi kerajaan pula menetapkan sop-sop baru melambatkan pengagihan bantuan makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Nak bantu orang pun susah dan takut kerana sop-sop seperti ini," tambahnya.

Dia juga mengesahkan terdapat NGO dikenakan kompaun oleh polis kerana tidak mendapat kelulusan PKOB sebelum membuat pengagihan.

"Pihak kerajaan seharusnya mempermudahkan SOP ini agar membolehkan pertolongan diberi dengan kadar segera.

"Kami harap, kerajaan mempertimbang semula SOP baru dan digantikan dengan SOP lama iaitu NGO hanya perlu mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan daerah sebelum mengedar sebarang bantuan," katanya.