Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Santhara nafi halang NGO bantu masyarakat di Segamat

Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar menafikan dirinya menghalang sebarang bantuan daripada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat terutama di parlimen Segamat.

"Saya sebagai Ahli Parlimen Segamat telah dimaklumkan mengenai satu hantaran di akaun media sosial Facebook bertarikh 6 Jun 2021 yang membuat kenyataan bahawa kononnya saya sebagai ahli parlimen menghalang sebarang bantuan daripada pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu masyarakat terutama di parlimen Segamat.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berbentuk fitnah yang telah dikeluarkan oleh pemilik FB tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Santhara berkata demikian susulan hantaran sebuah NGO melalui Facebook mendakwa bahawa tidak dapat menghulur bantuan kewangan kepada seorang pesakit kemalangan di Segamat yang memerlukan dana untuk pembedahan.

NGO itu Pusat Perkembangan Didik Istimewa Cekal turut menyatakan bahawa dana yang dikutip bagi pesakit itu akan digunakan bagi tujuan lain.

Bagaimanapun, Santhara yang juga timbalan menteri Wilayah Persekutuan berkata pejabat Parlimen Segamat telah membantu pesakit yang dimaksudkan oleh pemilik FB tersebut sejurus dimaklumkan mengenai keadaan yang menimpa beliau.

"Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian pihak NGO untuk membantu dan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dalam memastikan kebajikan dan kehidupan rakyat di parlimen Segamat dapat dipertingkatkan.

"Namun, tindakan pihak NGO untuk memfitnah dan menghasut di masa rakyat sedang melalui saat sukar adalah tidak wajar berlaku.

"Ketika negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19, bukan masanya untuk pihak NGO bermain politik yang tidak membawa sebarang faedah.

"Saya merayu agar semua pihak untuk mengutamakan tindakan membantu rakyat dan kurangkan berpolitik," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, NGO berkenaan telah menarik balik dakwaannya terhadap ahli parlimen Segamat itu.

Wakil NGO itu, Doreen Sc Bong meminta maaf kepada Santhara berkata dakwaan tersebut dibuat kerana salah faham.

"Saya ingin menyatakan permohonan maaf secara ikhlas kepada ahli parlimen (Segambut) sekiranya terdapat salah faham.

"Saya harap tidak ada lagi posting mengecam atau kebencian selepas ini," katanya dalam satu hantaran terbaru di Facebook.

NGO itu turut mengesahkan bahawa pegawai Santhara telah membuat satu laporan polis ke atas NGO itu berhubung insiden tersebut.