Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri tak setuju kenaikan harga minyak masak munasabah

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saifuddin Nasution tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengatakan bahawa kenaikan minyak masak hari ini adalah munasabah.

“Kenaikan lebih 100% berbanding harga Disember 2019 dahulu adalah tidak munasabah. Suatu tindakan segera oleh kerajaan harus dilakukan,” katanya.

Saifuddin, yang merupakan bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) sebaliknya memberikan cadangan untuk menangani kenaikan harga minyak masak yang membebankan rakyat.

Saifuddin Nasution 

Antaranya dia mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan harga dua peringkat (two-tiered pricing) untuk harga minyak sawit mentah - dijual mengikut harga pasaran bagi tujuan eksport tetapi memperkenalkan harga lebih rendah untuk jualan domestik.

“Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang.

“Bukan sahaja harga minyak masak tanpa subsidi murah bahkan subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid berkata kenaikan harga minyak masak turut dipengaruhi oleh harga buah tandan sawit di ladang, yang kini dilaporkan naik sehingga RM1,000 satu tan, berbanding RM300 satu tan sebelum ini.

Rosol Wahid 

Menurut Khairuddin, kenaikan harga tersebut telah menguntungkan tiga juta rakyat miskin dari kalangan keluarga peneroka dan pekebun kecil sawit.

“Kesimpulannya ialah kenaikan harga minyak sawit menguntungkan tiga juta rakyat Malaysia dan mengeluarkan mereka daripada status miskin.

“Kesan kenaikan harga sawit ditanggung oleh M40 dan T20 yang cukup makan dan kaya namun ia memulangkan nilai keringat sebenar pekebun kecil yang telah lama diabaikan,” kata ahli parlimen Kuala Nerus itu dalam satu kenyataan.

Saifuddin turut mencadangkan supaya kerajaan membiayai subsidi untuk semua bekalan minyak masak dalam negara ataupun melaksanakannya sebagai pemberian one-off sekiranya berdepan dengan kekangan peruntukan.

“Langkah ini dengan serta merta akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna.

“Cadangan ketiga saya ialah kerajaan boleh menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran hari ini.

“Hal ini akan segera memberi kelegaan kepada rakyat,” kata setiausaha agung PKR itu.