'Tuanku berlapang dada dengar semua pandangan'
Tiada isu pembentukan kerajaan baru Malaysia dalam pertemuan di antara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Anwar Ibrahim pagi ini.
Hal itu dijelaskan presiden PKR berkenaan selepas keluar dari Istana Negara pada jam 11.54 pagi ini.
"Itu soal yang tidak berbangkit sekarang," katanya menjawab soalan pemberita tentang apakah isu itu ada disebut dalam pertemuannya dengan Agong.
Disoal tentang apakah tujuan Agong memanggil pemimpin-pemimpin parti menghadapnya dalam beberapa hari ini, kata Anwar, hak itu terpulang pada baginda.
"Itu terserah pada tuanku.
"Tapi berdasarkan pengalaman saya tadi, tuanku berlapang dada mendengar semua pandangan," katanya.
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah dia turut menyediakan laporan dan kajian untuk pertimbangan Agong berhubung beberapa isu berbangkit.
Pemimpin kedua menghadap
Kata Anwar, antara perkara yang dibangkitkannya semasa menghadap Al-Sultan Abdullah ialah soal darurat yang berkuatkuasa dari 11 Jan - dan dijangka tamat pada 1 Ogos nanti - tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.
Kata Anwar, dia ada merayu kepada Agong untuk menghalang darurat daripada dilanjutkan lagi.
"[...] Kita bayangkan pandangan kita bahawa penerusan darurat ini akan menyebabkan kerugian kepada negara, tidak membantu menangani masalah Covid-19 dan akan menjejaskan ekonomi terutama rakyat peringkat bawah.
"Semua langkah yang boleh dilakukan (untuk menangani Covid-19) tidak memerlukan darurat.
"Jadi kita merayu kepada tuanku supaya menghalang penerusan ini sedaya-upaya walaupun tuanku tepat mengatakan bahawa (akan) patuh kepada semangat raja berperlembagaan, mengikut nasihat perdana menteri," katanya lagi.
Anwar merupakan pemimpin parti politik kedua menghadap Agong hari ini selepas perdana menteri Muhyiddin Yassin menghadap baginda untuk mesyuarat prakabinet pagi tadi.
Ini susulan laporan media berkaitan beberapa pemimpin tertinggi parti politik dalam negara dijadual menghadap Agong, yang dijangka berlanjutan selama beberapa hari.
Ia berlaku ketika negara terus berdepan dengan ancaman Covid-19 dan darurat masih berkuat kuasa di sebalik pelbagai desakan agar ia ditamatkan, atau parlimen dibuka untuk bersidang
Sejak diumumkan 12 Jan lalu pelaksanaan darurat di negara ini menerima kritikan banyak pihak, termasuk pembangkang, NGO, bahkan sekutu PN, Umno sendiri, yang menuntut agar ia ditamatkan bagi membenarkan parlimen kembali bersidang.
Antara kritikan yang dilemparkan, ialah Muhyiddin didakwa menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa di sebalik kekurangan sokongan majoriti yang didakwa dimilikinya di Dewan Rakyat.
Agong adalah harapan rakyat - Guan Eng
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng masuk ke istana pada kira-kira jam 2 petang menerusi pintu 2 dan keluar pada jam 3.15 petang.
Dia yang diiringi ahli parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berhenti seketika untuk bercakap kepada petugas media di luar pintu istana.
Bekas menteri kewangan itu berkata dia membangkitkan tentang bantuan kewangan kepada rakyat dalam pertemuannya dengan Agong.
“Kebanyakan (perbincangan) tentang ekonomi dan juga tentang Covid-19, serta perlunya rakyat (mendapat) bantuan termasuk di tempat pembangkang, di mana kita harap kerajaan (memberikan) peruntukan untuk semua (penduduk) yang miskin,” katanya.
“[...] Tuanku adalah harapan kerana parlimen sekarang tidak bersidang, (oleh itu) tidak ada ruang untuk rakyat suarakan masalah mereka.
“Kita harap tuanku yang merupakan harapan rakyat supaya mereka mendapat pembelaan,” katanya yang turut membangkitkan keperluan untuk pemberian vaksin dipercepat.
Ahli Parlimen Bagan itu bagaimanapun enggan menjawab ketika ditanya sama ada Agong ada bertanyakan tentang kedudukan DAP dalam kerajaan atau pun tidak.
“Saya tak mahu komen tentang perkara ini, lebih baik kita serah kepada kebijaksanaan tuanku,” katanya.
Mohamad Sabu minta parlimen dibuka
Presiden Amanah Mohamad Sabu yang masuk ke istana selepas Lim, kira-kira jam 3 petang memperuntukkan masa kira-kira sejam sebelum dilihat keluar.
Mengenakan sut hitam lengkap bersongkok, katanya, dalam pertemuannya dengan Agong, dia meminta agar parlimen dapat kembali besidang.
“Saya minta supaya parlimen dibuka semula, boleh bersidang seperti di UK - tengah-tengah pandemik paling teruk, sidang parlimen lagi kerap kerana rakyat nak tahu apa program kerajaan hendak mengatasi Covid-19 ini.
“Tidak seperti kita, Covid-19 teruk, parlimen ditutup,” katanya.
Disoal apakah pertemuan tersebut turut menyentuh soal keabsahan kerajaan Perikatan Nasional, ahli parlimen Kota Raja itu menjawab tidak ada.
“Kita tak bincang soal kerajaan dan sebagainya,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai