Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PGA Kelantan rampas dadah lebih RM8j di dapur rumah kosong

Sejumlah 41 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dan 720,000 biji pil yaba dianggarkan bernilai lebih RM8.6 juta berjaya dirampas Pasukan Batalion 8 Gerakan Am (PGA) di sebuah rumah di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, Kelantan, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Benteng Covid-19 itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota PGA di sebuah rumah kosong jam 4.30 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PGA, DCP Kasuahdi Ali, berkata pihaknya melakukan intipan selama empat jam terhadap kediaman tersebut sebelum serbuan dilakukan sebaik suspek memasuki rumah terbabit.

Menurutnya, PGA turut berjaya menahan seorang suspek yang juga lelaki tempatan berusia 43 tahun.

"Hasil serbuan itu PGA mendapati terdapat lapan bungkusan plastik hitam yang diletakkan di bahagian dapur rumah kosong berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 41 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.47 juta dan 720,000 biji pil kuda bernilai RM7.2 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, ACP Sheik Azhar Sheik Omar.

Menurut Kasuahdi polis percaya bahan terlarang tersebut diperolehi dari negara jiran sebelum diedarkan ke Pantai Timur untuk pil yaba, manakala syabu dirancang untuk dibawa ke Lembah Klang dan Johor.

Katanya siasatan lanjut terhadap lelaki itu masih dijalankan sama ada ia hanya berperanan sebagai pembawa dadah berkenaan atau mempunyai peranan lebih besar seperti mengetuai sindiken berkenaan.

“Siasatan juga mendapati, kediaman yang diserbu itu disyaki milik kakak suspek, namun siasatan terperinci masih dijalankan," katanya.

Menurut Kasuahdi lagi dadah jenis syabu yang dirampas itu boleh digunakan seramai 410,000 penagih, manakala pil kuda pula boleh dapat digunakan 144,000 penagih.

Tambahnya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah direman selama seminggu bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.