Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Zambry ganti tempat Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN

Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Zambry Abd Kadir sebagai setiausaha agungnya yang baru.

Zambry yang merupakan Adun Pangkor dan bekas Menteri Besar Perak menggantikan Ahmad Maslan yang dilantik ke jawatan itu pada Januari lalu.

Ahmad menggantikan tempat Annuar Musa yang dipecat daripada jawatan itu pada 5 Jan.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BN malam ini.

Sementara itu Ahmad menerusi Facebook berkata dia menarik diri daripada jawatan setiausaha Agung BN sejak hujung Februari 2021.

"Ia telah dipersetujui oleh Pengerusi BN DS @DrZahidHamidi.

"Jawatan setiausaha agung Umno dan setiausaha agung bersama MN (Muafakat Nasional) sudah cukup banyak tanggungjawab. Tahniah kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang dilantik hari ini," katanya.

Dalam pada itu mesyuarat Dewan tertinggi BN juga sebulat suara melantik Azlan Man sebagai pengerusi jawatankuasa penyelaras BN Perlis yang baru.

Azlan adalah Adun Bintong yang juga Menteri Besar Perlis.

Dia menggantikan Shahidan Kassim yang disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis pada April lalu.

Annuar dan Shahidan dilihat tidak sehaluan dengan kepemimpinan Umno sekarang, yang sebelum ini membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambahkan kekuatan jentera partinya di peringkat negeri bagi membantu program pendaftaran vaksin khususnya di kalangan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.