Fomca: Pantau dan tingkatkan pengeluaran minyak masak paket
Selepas isu kenaikan harga minyak masak melambung tinggi, kini timbul pula masalah kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi atau minyak masak paket di pasaran, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin berkata dakwaan itu timbul selepas Fomca dan ahli gabungannya terutama di luar bandar menerima aduan daripada pengguna mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak paket di tempat mereka.
"Fomca sedia maklum dengan isu kenaikan harga minyak. Namun begitu, keterdapatan minyak masak paket juga menjadi persoalan," kata dalam satu kenyataan.
Ekoran daripada itu, Nur Asyikin meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan dan meningkatkan pengeluaran kuantiti minyak masak paket supaya lebih ramai pengguna dapat menikmati subsidi minyak masak.
“Apabila kenaikan minyak sawit yang terlampau tinggi buat masa ini, tidak mustahil ada pihak yang gelap mata untuk mengaut keuntungan yang lebih.
“Maka, pemantauan ke atas minyak masak paket perlu dijalankan secara menyeluruh supaya tiada pihak yang bermain dengan kuantiti minyak masak yang bersubsidi ini dan supaya isu integriti juga terpelihara," katanya.
Sementara itu, Nur Asyikin turut membangkitkan persoalan mengenai isu kualiti minyak masak paket bersubsidi.
Menurut Nur Asyikin, pemantauan terhadap kualiti minyak masak sangat penting kerana ia melibatkan isu kesihatan pengguna yang menggunakannya.
"Pihak berkuasa perlu memantau kualiti minyak masak paket secara berkala, bukannya berdasarkan aduan pengguna supaya kualiti minyak paket sentiasa terkawal rapi.
"Rantaian bekalan minyak masak bersubsidi ini perlu melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuk wakil persatuan pengguna supaya isu minyak masak bersubsidi ini tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Oleh itu, Nur Asyikin berkata pihaknya berharap KPDNHEP tidak mengabaikan suara pengguna dan lebih empati dengan nasib rakyat.
"Segala kos kenaikan harga yang berlaku di sepanjang rantaian bekalan makanan akan ditanggung oleh pengguna sebagai pengguna akhir di rantaian tersebut.
"Rata-rata pengguna sudah cukup terkesan dengan tekanan ekonomi akibat wabak pandemik Covid-19 ini," katanya sambil meminta orang ramai yang sukar mendapatkan bekalan minyak masak paket membuat aduan kepada KPDNHEP melalui talian whatsapp 019-2794317.
Muktahir ini beberaa pihak mengesa kerajaan menyiasat dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan isu kenaikan harga minyak masak di negara ini dapat diatasi, temasuk Fomca.
Pada awal Januari lalu, harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) dijual pada harga RM27 berbanding RM19 hingga RM22 sebelumnya.
Kenaikan tersebut dilaporkan meningkat lagi selepas tiga bulan iaitu antara RM28 hingga RM34 sebotol.
Manakala minyak masak paket satu kg dijual pada harga RM2.50.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai