Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Batal kontrak KVDT2: Rayuan k'jaan didengar 16 Julai

Mahkamah Rayuan menetapkan semula tarikh prosiding rayuan oleh kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kontraktor projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan penamatan kontraknya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili kerajaan dan Menteri Pengangkutan semasa dihubungi berkata tarikh prosiding itu pada mulanya ditetapkan pada 16 Jun namun dipinda ke 16 Julai dan akan diadakan secara dalam talian.

Pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.

Pada 14 April, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Noorin Badaruddin membenarkan permohonan kebenaran Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari bagi mencabar keputusan kerajaan membatalkan projek.

Hakim juga membenarkan penangguhan keputusan kerajaan membuka tender awam untuk projek tersebut sehingga permohonan semakan kehakiman selesai.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada September 2020, Dhaya Maju LTAT menamakan kerajaan dan Menteri Pengangkutan sebagai defendan.

Syarikat itu memohon pengisytiharan bahawa keputusan kerajaan untuk membatalkan projek KVDT 2, yang dianugerahkan pada 19 Ogos 2019, dan seterusnya membuka semula tender bagi projek itu, adalah tidak sah dan batal.

Syarikat tersebut juga menuntut satu perintah certiorari untuk menolak keputusan defendan membatalkan kontrak projek itu dan perintah mandamus bagi memaksa pihak defendan melaksanakan kesemua perjanjian.

- Bernama