Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun PN pun patut desak Putrajaya atasi isu vaksinasi di Selangor - Azmizam

Adun Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membangkitkan isu tidak seimbangnya dos yang diberikan kepada Selangor berbanding rakyat di negeri itu.

Kata Azmizam titah Sultan Selangor itu sangat bertepatan dengan keadaan semasa di negeri yang didiami kira-kira 6.5 juta rakyat sekarang.

“Dalam keadaan pandemik yang begitu meruncing ini, adalah amat wajar nyawa rakyat diberikan keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

“Selangor selaku negeri yang menyumbangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) terbesar tidak harus dilayan sebelah mata dan tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Azmizam, titah Sultan Selangor itu juga harus diberikan perhatian dan tidak wujud lagi pelbagai tohmahan, ketidakcekapan data serta mainan politik yang bakal ke atas negeri terbabit hingga merencatkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok.

Selain itu, Azmizam turut menggesa Adun Perikatan Nasional (PN) Selangor untuk turut sama memainkan peranan mendesak kerajaan pusat mempercepat proses penyediaan vaksin.

“Perkara penting ini amat wajar dilakukan bersama oleh semua Adun dan tidak berteraskan politik kepartian semata-mata,” tambahnya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa baginda apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata baginda bertitah peruntukan itu adalah tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor.

"Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

"Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta," katanya.

Mohamad Munir juga menegaskan Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri terbabit.

Kata Mohamad Munir dalam situasi sekarang Sultan Sharafuddin berpendapat nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Katanya baginda turut mahu agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.