Rahman persoal Sabah peruntuk RM15j beli 10,000 komputer riba
Pemimpin Umno Sabah mempersoal tindakan kerajaan mengumumkan perbelanjaan sebanyak RM15 juta untuk membeli 10,000 unit komputer riba kegunaan pelajar di negeri itu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Abdul Rahman Dahlan, berkata keputusan itu dibuat ketika kerajaan Persekutuan sudah bersetuju membekalkan 150,000 peranti termasuk komputer riba untuk pelajar kumpulan B40.
Katanya melalui pengumuman kerajaan Sabah komputer riba berkenaan akan mula diagih mulai 19 Julai ini sehingga 18 Okt depan.
"Hasrat ini memang baik dan perlu disokong. Namun yang peliknya kita semua tahu bahawa kerajaan pusat telah berjanji untuk membekalkan 150,000 komputer kepada pelajar di seluruh Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada 6 Jun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu hampir 13,000 peranti termasuk komputer riba sudah diagihkan kepada pelajar dari kelompok B40 dan bakinya akan diserahkan secara berperingkat.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata KPM yakin semua komputer riba berkenaan - sebanyak 150,000 semuanya - akan selesai diserahkan pada akhir Sept ini.
"Sebanyak 12,887 unit telah diagihkan ke 95 buah sekolah manakala 40,290 agihan lagi akan selesai pada 12 Jun.
"Baki agihan 96,823 unit lagi dijangka selesai pada akhir September 2021," katanya pada sidang media beberapa hari lalu.
Abdul Rahman berkata kerajaan Sabah sepatutnya menunggu peranti yang akan diagihkan kerajaan itu berbanding menggunakan peruntukan baru sebanyak RM15 juta.
Katanya, peruntukan itu sepatutnya disalurkan bagi membantu golongan lain yang terjejas dengan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang berkuat kuasa ketika ini.
"Baki 96,823 unit komputer itu akan diedarkan pada Sept ini. Takkan kerajaan Sabah tidak boleh tunggu sebulan kerana komputer kerajaan pusat akan diagihkan pada Sept.
"Persoalannya, apa keperluan kerajaan negeri membeli 10,000 komputer dengan kos RM15 juta sedangkan kerajaan pusat akan membekalkan 150,000 buah kepada pelajar di seluruh negara termasuk di Sabah?
"Alangkah baiknya RM15 juta itu dapat dibelanjakan untuk membantu peniaga kecil dan orang kampung yang menderita semasa lockdown ini," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai