Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Miti kesan kilang palsukan pendaftaran untuk beroperasi

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kilang yang membuat peraturan sendiri sehingga melanggar peraturan-peraturan (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan.

MITI berkata kementerian tersebut termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut.

Hasil semakan Pasukan Petugas Khas COVID-19 MITI hari ini di Shah Alam mendapati ada sebuah kilang telah beroperasi sewaktu PKP 3.0 walaupun tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu.

“Kilang Suzuki Latex Industry Malaysia Sdn Bhd yang mengeluarkan “finger sleeve” telah mengubah sub-sektornya kepada Elektrik & Elektronik, namun pihak MITI telah berjaya mengesan pemalsuan pendaftaran apabila tiba di tempat kejadian,” katanya apabila ditanya mengenai lawatan mengejut hari ini.

Akibatnya, kilang tersebut telah menerima tawaran kompaun RM50,000 dan diarahkan tutup selama 14 hari.

Lawatan hari ini diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang dibuat ke atas kilang-kilang di Klang dan Shah Alam berdasarkan aduan orang awam tentang ketidakpatuhan SOP.

"Tawaran kompaun maksimum dan notis penutupan premis serta merta telah diberikan kepada kilang,” katanya lagi.

Syarikat Barry Callebaut Malaysia Sdn Bhd pula telah dikenakan tawaran kompaun sebanyak RM10,000 selepas pekerja-pekerjanya tidak menggunakan aplikasi MySejahtera sewaktu masuk bekerja.

“Seramai tiga pengawal keselamatan dan seorang pembekal syarikat juga didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera. Tawaran kompaun itu telah diterima oleh wakil syarikat berkenaan,” katanya.

Syarikat Wistron Technology (M) Sdn Bhd di Klang, Selangor yang dibuka pada 3 Jun 2021 setelah diarahkan tutup sebelum ini telah berjaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepenuhnya.

"Diingatkan untuk pemain industri agar sentiasa mematuhi SOP terkini yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)."

Sekiranya terdapat sebarang aduan ketidakpatuhan SOP oleh kilang-kilang, sila adukan kepada [email protected]

Ketidakpatuhan SOP bukan hanya berisiko untuk dikompaun, bahkan boleh meragut nyawa sekiranya seseorang individu itu terkena jangkitan COVID-19.

- Bernama