Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH desak lebih banyak PPV di Johor

PH Johor mendesak lebih banyak pusat pemberian vaksinasi (PPV) di negeri itu diwujudkan ekoran aduan bahawa penerima vaksin Covid-19 harus membuat perjalanan yang jauh untuk mendapatkan suntikan mereka.

Dalam kenyataan semalam, PH Johor mendakwa bahawa sesetengah penduduk negeri itu harus melalui perjalanan sejauh 60 kilometer untuk mendapatkan vaksin.

"Sebagai contoh, ketiadaan PPV di Labis bermaksud orang ramai harus melakukan perjalanan pergi balik sejauh 60km ke PPV di Segamat.

"Begitu juga, mereka di Yong Peng perlu pergi ke PPV di Batu Pahat, orang Paloh perlu pergi ke PPV di Kluang, Gemas Baharu ke PPV di dewan serbaguna Buloh Kasap yang semuanya memakan masa sekitar 60km perjalanan pergi balik," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, yang juga ketua pembangkang negeri itu.

"Situasi ini menimbulkan kesulitan kepada orang ramai. Ada dalam kalangan mereka yang telah menerima temu janji vaksin tetapi tidak dapat hadir.

"PH Johor mengulangi bahawa penubuhan lebih banyak PPV di negeri ini perlu untuk membantu meningkatkan kadar vaksinasi," kata mereka.

Mereka juga mengambil maklum berkenaan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini berhubung projek perintis bagi menguji unit bergerak vaksinasi Covid-19 di Kuala Lumpur dan berharap pendekatan sama dilaksanakan di Johor.