Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP persoal alasan 'ketagihan' untuk benarkan jual rokok ketika 'lockdown'

Sekumpulan ahli parlimen pembangkang mempersoalkan alasan kerajaan untuk membenarkan penjualan rokok pada masa sama melarang penjualan alkohol dalam tempoh sekatan penuh atau 'total lockdown'.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid sebelum ini berkata penjualan rokok akan dibenarkan walaupun bukan barang penting untuk "mengelakkan masalah" terhadap golongan yang ketagih rokok.

Bagaimanapun, ahli parlimen pembangkan berkenaan mengatakan bahawa berdasarkan logik itu, telah terbukti secara perubatan bahawa alkohol juga menyebabkan ketagihan.

"Alasan seperti ini telah mengundang kebingungan besar kerana sudah menjadi pengetahuan umum dalam perubatan bahawa penagih alkohol juga mengalami gejala ketagihan.

"Bagaimana kerajaan pusat boleh mengkategorikan tembakau di bawah keperluan penting tetapi bukan alkohol?" katanya.

Untuk rekod, Rosol sebelum ini pada mulanya mengatakan bahawa semua penjualan minuman keras akan dilarang ketika tempoh 'lockdown' tetapi kemudian menjelaskan bahawa larangan itu hanya untuk pembuatan minuman keras dan kedai minuman keras khusus.

Kenyataan bersama ahli parlimen itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Tuaran Upko Madius Tangau, Ahli Parlimen Warisan Penampang Darell Leiking dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP, Chan Foong Hin.

Mereka mengatakan tidak boleh ada dwistandard dalam layanan terhadap industri alkohol dan tembakau dalam tempoh sekatan penuh yang bermula pada 1 Jun dan akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 14 Jun.

"Jelas, kerajaan tidak boleh mempraktikkan dwiganda di sini. Industri tembakau dan industri alkohol adalah 'barang dosa' yang boleh menyebabkan ketagihan, dijauhi oleh pihak berkuasa agama, dan yang paling penting, kedua-duanya menyumbang kepada cukai.

"Tidak ada perbezaan besar di antara keduanya. Jika demikian, mengapa dwistandard dengan hanya membenarkan kilang dan kedai rokok beroperasi?" kata mereka.

Mereka mengatakan jika industri tembakau dibenarkan beroperasi, maka layanan yang sama harus diberikan kepada industri alkohol.

Sementara itu, pengguna media sosial menggunakan Twitter untuk mengadu bahawa kedai serbaneka dan pasar raya telah menutup bahagian perniagaan mereka untuk mengelakkan penjualan barang-barang yang dikategorikan tidak penting.

Ini termasuk produk seperti alat tulis, barang perkakasan dan pewarna rambut.

 

Seorang jurucakap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ketika dihubungi, mengulangi bahawa penutupan bahagian yang menjual barangan tidak penting sesuai dengan prosedur operasi standard yang diumumkan pada 31 Mei.

Kedai sedemikian hanya boleh menjual produk penting seperti makanan, bahan makanan dan peralatan mandian.