Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Masyarakat masih tak faham keperluan sekatan jalan raya'

Meskipun sudah lebih setahun Malaysia berdepan pandemik Covid-19, masyarakat masih gagal untuk memahami keperluan sekatan pergerakan, yang bertujuan untuk mengekang risiko penularan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata, tindakan segelintir orang awam di Putrajaya cuba membolos sekatan jalan raya (SJR) dengan merosakkan penghadang jalan, ‘blinker’, membuka laluan alternatif serta memandu secara lawan arus, selepas 10 jalan bersempadan Selangor ditutup sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, pada 1 Jun.

“Kita dapati laluan alternatif dibuat penduduk tinggal bersempadan Putrajaya seperti Dengkil untuk masuk pusat pentadbiran. Di Jalan 7G menghala masuk Putrajaya Sentral, kita dapati banyak kenderaan melawan arus untuk keluar ke arah Puchong, kerana jalan keluar telah ditutup.

“Sekatan di beberapa jalan namun orang awam masih mencari ruang untuk memudahkan perjalanan dan melepasi SJR yang ditetapkan. SJR bukan bertujuan menyusahkan orang ramai, tetapi mengurangkan risiko penularan dan melindungi kawasan daripada jangkitan,” katanya.

Dia berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di beberapa kawasan yang masih menjadi laluan keluar masuk orang awam ke Putrajaya dari kawasan bersempadan Selangor, antaranya Dengkil, Puchong, Bangi dan Kajang, di Putrajaya hari ini.

Selain itu Mohd Fadzil berkata, tinjauan di Taman Cabaran Presint 5 mendapati, 'laluan tikus' di sempadan Tanah Perkuburan Presint 20 mendapati, motorsikal dan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan mencari laluan terdekat untuk memasuki Putrajaya, serta berlakunya perbuatan vandalisme terhadap penghadang jalan dan ‘blinker’ yang dipecahkan, kerana rasa kurang puas hati dengan penutupan jalan.

Dia berkata, tindakan orang awam itu boleh disiasat di bawah Seksyen 269/270 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Mohd Fadzil berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah mengeluarkan sebanyak 16 kompaun sejak sekatan pergerakan penuh dilaksanakan pada 1 Jun, di mana pada Jumaat sebanyak tujuh kompaun kerana merentas negeri dan daerah tanpa surat sah dan kebenaran, dan semalam enam saman trafik terhadap individu memandu melawan arus.

Dia berkata, SJR di empat lokasi mendapati kesesakan berikutan 10 jalan susur keluar Putrajaya ditutup, dan ini menunjukkan tindakan itu wajar dalam membolehkan pemeriksaan lebih rapi di SJR, serta memastikan pergerakan keluar masuk orang awam lebih terkawal dengan surat kebenaran rasmi dan urusan kecemasan.

Empat lokasi SJR statik di Putrajaya terletak di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Mohd Fadzil meminta penduduk Putrajaya dan orang awam supaya bersabar sehingga 14 Jun ini, serta memahami keperluan penutupan jalan dan SJR, dalam usaha membendung risiko penularan Covid-19 sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.

Dia turut melahirkan rasa kesal, atas tindakan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang menggunakan laluan khas untuk petugas barisan hadapan di SJR, untuk mengelakkan sekatan dan mempercepatkan perjalanan.

Katanya polis tidak menghalang orang awam memasuki Putrajaya, namun perlu menunjukkan surat kebenaran rentas yang sah, serta menasihati kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang bukan tergolong sebagai petugas barisan hadapan, untuk merancang perjalanan dengan baik dan mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan.

-Bernama