Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hamzah: Buat apa UNHCR mahu masuk depot imigresen kita?

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin menolak gesaan agar perwakilan dari Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di negara ini diberi akses ke depot tahanan imigresen.

"Pertama saya nak jelaskan, ini negara kita. Yang mereka nak masuk (depot) imigresen kita buat apa?

"Bukankah kita tahu siapa yang kita tangkap? Orang yang kita tangkap adalah mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen," kata Hamzah dalam sidang media dalam talian dari Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

The Star pada 20 Mei memetik pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph yang mengatakan bahawa kerajaan harus membenarkan UNHCR mendapat akses ke pusat tahanan Imigresen kerana "ribuan pencari suaka" ditahan di sana.

Joseph dilaporkan berkata, meskipun majoriti pencari suaka dalam tahanan adalah Rohingya, ada juga orang asing lain, termasuk dari Palestin dan Syria.

Pelarian dianggap pendatang tanpa dokumen berdasarkan undang-undang imigresen di Malaysia dan berisiko ditangkap, ditahan dan dihantar pulang.

Hamzah, bagaimanapun, menegaskan hari ini bahawa pemegang kad UNHCR akan dibebaskan.

"Sekiranya ada pemegang kad UNHCR, kita akan melepaskan mereka.

Dan kita tak pernah pun melakukan perkara yang menzalimi sesiapa dalam negara ini," katanya.

Pada masa yang sama, Hamzah menyatakan bahawa meskipun pemegang kad UNHCR boleh tinggal sementara di Malaysia sementara menunggu penempatan semula mereka di negara ketiga, banyak yang sebaliknya tinggal di sini selama 30 tahun.

"Ini yang sebenarnya, ada perkara-perkara yang saya akan duduk semula dengan UNHCR, Wisma Putra, untuk memastikan perkara ini tidak berpanjangan lagi dalam negara kita.

"Saya tak mahu salahkan UNHCR tapi saya nak maklumkan mereka dah keluarkan kad UNHCR lebih 120,000," kata Hamzah.

"Cuba kita fikirkan, bukan patut kad yang ada dalam negara kita dikeluarkan oleh negara kita?

"kalau dia PR (penduduk tetap) kita bagi lain, kalau dia bekerja kita beri permit... Ini tiba-tiba ada orang lain keluar kad lebih atas dari Jabatan Pendaftaran Negara.

"Jadi sepatutnya rakyat sedar, ini adalah perkara lama yang patut kita betulkan sekarang untuk masa depan lebih baik," katanya.

Hamzah baru-baru ini mengundang kritikan susulan rancangan operasi Kementerian Dalam Negeri menangkap warga asing tanpa dokumen, yang dilancarkan bersama dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru yang berkuat kuasa dari 1 Jun hingga 14 Jun.

Menjawab pengkritiknya, Hamzah pada hari Khamis mengatakan bahawa mustahil untuk memberikan vaksin Covid-19 pada warga asing tanpa dokumen dan operasi tersebut bertujuan untuk "membantu" mereka mendaftar untuk dokumen yang sah, mendapat vaksin, dan kemudian diberi pilihan untuk meninggalkan negara ini atau bekerja secara sah di sini.

Pada bulan Februari, Malaysia meneruskan pengusiran lebih 1,200 warganegara Myanmar yang ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu, di tengah bantahan yang kuat dari UNHCR dan kumpulan hak asasi.

Pengkritik berpendapat bahawa ketika UNHCR ditolak akses ke depot Imigrasi, mungkin ada di antara mereka yang dihantar pulang yang melarikan diri dari penganiayaan di bawah Junta Myanmar dan berisiko dianiaya setelah kembali ke negara mereka.

Hingga bulan Mac tahun ini, dilaporkan terdapat sekitar 178,920 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan majoriti berasal dari Myanmar.

Untuk rekod, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tidak mempunyai kerangka undang-undang atau pentadbiran untuk mengatur status dan hak pelarian.