Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengiktirafan program undang-undang Usim diharap lahir graduan berwibawa

Pengiktirafan Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) diharap akan mewujudkan sebuah sekolah undang-undang ternama di negara ini yang berjaya menyediakan graduan berwibawa, berdedikasi dan bermoral tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata graduan undang-undang itu diperlukan bagi mengisi keperluan sektor perundangan negara, sama ada sebagai pegawai di bidang kehakiman, perundangan, penasihat dan pengamal undang-undang serta cabang kerjaya perundangan lain.

“Pejabat ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Usim atas pengiktirafan penuh yang diberikan kepada program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah universiti ini oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata selaras dengan pengiktirafan itu graduan program berkenaan akan mendapat pengiktirafan mengikut kategori berdasarkan tahun graduasi dan mendapat Certificate of Completion and Skill of Practical Training.

Takiyuddin berkata graduan undang-undang Usim yang bergraduasi pada 2018 dan selepasnya adalah diiktiraf sebagai "orang yang berkelayakan" berdasarkan Seksyen 3 Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan dikecualikan daripada menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

CLP ialah peperiksaan kelayakan untuk menjadi peguam di negara ini.

Selain itu, graduan yang bergraduasi pada 2016 dan 2017 serta mendapat Certificate of Completion and Skill of Practical Training juga diiktiraf sebagai "orang yang berkelayakan" dan dikecualikan daripada menduduki CLP.

- Bernama