Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sime Darby Plantation lantik peguam hak asasi manusia

Sime Darby Plantation (SDP) melantik peguam hak asasi manusia dari Australia, Prof Justine Nolan menganggotai Suruhanjaya Penilaian Hak Asasi Manusia Pihak Berkepentingan syarikat itu.

SDP berkata suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada Mac 2021, merangkumi perunding perdagangan beretika Impactt Ltd dan panel perundingan pihak berkepentingan, termasuk Nolan, aktivis hak pekerja asing dan penyelidik hak asasi manusia Andy Hall, dan wakil Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perladangan (NUPW), kesatuan sekerja terbesar bagi pekerja ladang di Malaysia.

"Prof Nolan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam perniagaan dan hak asasi manusia. Beliau mengajar di Fakulti Undang-Undang dan Keadilan di University of New South Wales (UNSW), Sydney, Australia dan Pengarah Institut Hak Asasi Manusia Australia,” menurut kumpulan perladangan itu dalam kenyataan semalam.

SDP berkata sebelum menyertai UNSW pada 2004, Nolan berkhidmat sebagai Pengarah Program Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di Jawatankuasa Peguam bagi Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat.

Dalam tempoh itu, beliau memberi nasihat berhubung strategi berkesan untuk melindungi hak asasi manusia dalam bidang korporat kepada syarikat dan organisasi masyarakat awam selain terlibat dalam penubuhan Persatuan Buruh Adil.

SDP berkata Nolan merupakan peneraju utama pergerakan hak asasi manusia dan perniagaan di Australia dan memegang pelbagai peranan sebagai pakar penasihat.

Beliau dilantik menganggotai Kumpulan Penasihat Pakar Perhambaan Moden bagi kerajaan Australia pada 2020.

Pengarah Urusan kumpulan SDP Mohamad Helmy Othman Basha menyifatkan, pengetahuan dan pengalaman luas Nolan dalam bidang perhambaan moden, perniagaan dan hak asasi manusia, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, tanggungjawab sosial korporat dan etika korporat, amat bernilai kepada SDP ketika kumpulan itu berdepan beberapa isu semasa.

SDP berkata Nolan dilantik pada 31 Mei 2021.

“Bersama-sama anggota suruhanjaya lain, beliau akan memberikan pandangan selanjutnya berhubung metodologi penilaian Impactt dan kredibiliti selanjutnya untuk keseluruhan proses.

“Beliau akan turut membantu mengkaji semula sebarang cadangan pemulihan untuk dilaksanakan oleh Impactt," kata SDP.

SDP berkata penilaian komprehensif Impactt bagi amalan buruh di seluruh Malaysia, berdasarkan penggunaan 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai buruh paksa sebagai rangka kerja, dijangka siap pada Jun 2021.

Laporan itu akan dihantar kepada panel perundingan pihak berkepentingan untuk pertimbangan yang terperinci dan selepas itu, SDP, Impactt dan panel perundingan pihak berkepentingan akan bersetuju dengan cadangan pemulihan berkenaan.

“SDP komited untuk membuat pendedahan yang telus mengenai penemuan suruhanjaya ini serta sebarang langkah pemulihan yang diperlukan untuk memastikan persekitaran bekerja dan kehidupan yang selamat untuk para pekerja pada masa ini dan akan datang,” katanya.

- Bernama