Capaian internet lemah sejak 10 tahun lalu: Umno Ketereh nak bantu
Isu capaian lemah internet di Kampung Banggol Lepah, Ketereh, bukanlah baru.
Berdasarkan kenyataan penduduk setempat mereka mengalami keadaan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu lagi dan kedudukan kampung tersebut yang terpencil mungkin menjadi faktornya.
Salah seorang penduduk di situ, Elias Abd Rahman, 58, ketika ditemui berkata masalah capaian internet lemah ini sudah hampir 10 tahun namun ia dirasakan lebih ketara apabila pelajar terpaksa mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Saya harap ia dapat diselesaikan dengan segera untuk kemudahan anak-anak kami belajar,” katanya.
Bagi Mohd Haromi Mat Yaman, 63, yang juga merupakan setiausaha Masjid Kampung Banggol Lepah, masalah capaian internet di situ pernah diadukan kepada Telekom Malaysia (TM) cawangan Kota Bharu tetapi tiada tindakan susulan setakat ini.
“Saya berharap selepas tindakan daripada pihak yang berkenaan ini dibuat maka proses untuk mendapatkan capaian internet ini akan lebih didengar supaya anak-anak kami dapat belajar dengan selesa,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kekangan PdPR yang membelenggu ramai pelajar di Kampung Banggol Lepah kerana capaian internet yang lemah.
Ia memaksa sesetengah mereka pergi ke tempat lain atau mencari lokasi yang lebih baik - termasuk di belakang rumah - untuk mendapatkan capaian internet.
Sementara itu, Setiausaha Umno Ketereh, Ahmad Termizi Musa, berkata pihaknya akan membantu mengambil tindakan susulan bagi memperbaiki capaian internet di situ.
Katanya ketika ini ada kira-kira 500 rumah di kampung berkenaan dan ada lebih 380 pelajar pelbagai peringkat yang perlukan capaian internet untuk meneruskan pembelajaran.
“Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh akan menulis surat kepada TM dan agen selular untuk mengambil tindakan segera menaik taraf sama ada membina pencawang tambahan ataupun menggunakan sistem 4G yang boleh diguna pakai lebih sempurna.
“Ini akan diuruskan oleh pejabat TM dan kami berharap dengan pemakluman ini mereka dapat berikan perhatian dan tindakan segera,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai