Tahanan mati dalam tahanan kerana terjun bangunan - polis
Insiden kematian dalam tahanan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Klang Selatan semalam berpunca daripada kemalangan ketika cuba melarikan diri dengan terjun bangunan, dakwa polis Selangor.
“Semasa pegawai penyiasat kes sedang iringi si mati untuk ke lokap daripada pejabat, semasa dia menuruni tangga dari tingkat dua ke tingkat satu, tahanan bertindak menolak pegawai penyiasat berkenaan dan dalam pada masa sama bertindak melarikan diri ke ke arah tingkap tangga yang berkenaan yang terbuka.
“Dan seterusnya terjun ke bawah.
“Dia telah jatuh di luar konkrit pemisah antara tingkat satu dan tingkat dua dan selepas itu jatuh di sebuah motosikal yang ada di parkir tar,” kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.
Semalam, M Manoharan - peguam keluarga Umar Faruq Abdullah @ Hemanathan - mendakwa ada sesuatu yang "pasti sangat tidak betul" berhubung kematian allahyarham sehari selepas ditangkap.
Dalam sidang media di ibu pejabat kontinjen (IPK) Selangor hari ini, Arjunaidi berkata Umar yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan di tempurung kepala dan bahagian muka.
Kecederaan lain, katanya, bergantung kepada pengesahan bedah siasat yang dijangka akan dilakukan petang ini selepas pengesahan ujian saringan Covid-19.
IPD Klang Selatan pada 2017 pernah terpalit dakwaan penggunaan kekerasan terhadap seorang lelaki G Ganeshwaran tetapi polis mengatakan tiada unsur khianat.
Terdapat juga dakwaan penyeksaan melibatkan seorang lelaki bermasalah mental pada 2019 bagi mendapatkan pengakuan dalam kes curi motosikal.
Polis berjanji menyiasat dakwaan itu.
Pegawai penyiasat ditukar serta merta
Menurut Arjunaidi, Umar yang tidak mempunyai pekerjaan ditangkap polis pada 2 Jun kerana disyaki mencuri tong gas dan ditahan reman untuk tujuan siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223 di mana penjawat awam dengan cuai membiarkan seseorang tahanan lari dari pengurungan atau membolehkan sebarang tindakan dilakukan.
“Pegawai penyiasat berkenaan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah daerah telah ditukarkan serta merta daripada tugas sementara menunggu hasil siasatan dan seterusnya tindakan-tindakan selanjutnya akan diambil bergantung pada hasil siasatan yang diperolehi,” katanya.
Sementara itu, Arjunaidi turut diminta mengulas mengenai tindakan warganet yang mengaitkan kes kematian tahanan polis di IPD Klang Selatan semalam, dengan keganasan pihak polis.
“Itu yang saya kata, bila dia memberikan komen, seseorang yang memberikan komen ataupun pendapat dia boleh bagi tapi dia kena bertanggungjawab atas komen dia.
“Bila komen itu menyakitkan orang lain ataupun mendatangkan kegusaran atau apa jua sekali pun, (dan) orang tak puas hati dia buat report. Kita kena siasat, mudah saja,” katanya.
‘Ada laporan, kita siasat’
Tambahnya, kadangkala komen dibuat di luar konteks oleh individu yang tidak tahu menahu berhubung isu terbabit.
“Tak tahu cerita tapi dia buat komen. Ini yang menyeret mereka ke dalam ini.
“Jadi bila dia buat komen, kalau ada sakitkan orang lain kita akan siasat. Biar undang-undang tu yang menentukan proses itu,” katanya.
Semalam, Umar yang merupakan tahanan polis meninggal dunia hanya satu hari setelah dia ditangkap.
Peguam keluarga tahanan tersebut, M Manoharan berkata terdapat sesuatu yang "pasti sangat tidak betul" berhubung kematian Umar dan Manoharan merancang untuk mengemukakan tuntutan terhadap polis dan kerajaan berhubung perkara itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai