Rezeki 3 pelajar di Ketereh: Annuar sumbang tablet seorang satu
Murah rezeki. Selepas kisah sukar mereka dipaparkan media tiga pelajar yang menetap di sebuah kampung di Ketereh, Kelantan terus mendapat bantuan, kali ini daripada pihak kerajaan.
Hari ini tiga daripada empat pelajar yang berdepan kesukaran mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kerana ketiadaan peranti mendapat perhatian Anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa.
Ketiga-ketiga mereka - Ammy Nazira Junoh, Shamimi Syafiqah Rosli, dan Anis Arini Asri - menerima sebuah tablet setiap seorang hasil sumbangan menteri Wilayah Persekutuan itu.
Sumbangan itu disampaikan Annuar melalui Setiausaha Umno Ketereh, Ahmad Termizi Musa, yang berkunjung ke rumah pelajar tersebut di Kampung Banggol Lepah.
“Tablet ini sumbangan ahli Parlimen Ketereh untuk pelajar yang tidak berkemampuan dari segi fasiliti peranti. Saya mewakili Annuar menyampaikan sumbangan ini kepada pelajar berkenaan,” katanya kepada media.
Semalam, seorang lagi pelajar Anis Natasha Junoh, 17, menerima komputer riba sumbangan Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang disampaikan melalui wakilnya di Kota Bharu.
Banyak membantu pembelajaran
Sumbangan tersebut dibuat susulan laporan Malaysiakini mengenai kesulitan empat pelajar yang amat memerlukan kemudahan peranti dan capaian internet untuk mengikuti PdPR.
Sementara itu Ammy Nazira, 16, berkata dia bersyukur kerana diberi kemudahan untuk belajar dalam situasi sekatan pergerakan penuh ini dan akan menggunakan peranti tersebut dengan sebaik mungkin.
“Terima kasih kepada pemberi. Tablet ini akan saya gunakan dalam PdPR ini untuk belajar. Dengan adanya tablet ini saya akan lebih mudah belajar,” katanya.
Bagi Shamimi Shafiqah, 15, dia berkata tablet yang disumbangkan Annuar itu akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk belajar dalam situasi pandemik ini.
“Dalam keadaan sekarang, saya sangat bersyukur kerana dapat peranti tablet ini dan saya akan gunakan dengan baik,” katanya.
Anis Arini Asri, 20, pula menjadikan tablet diterimanya itu menjadi penguat semangat untuk dia menyambung pengajian peringkat ijazah pada Sept ini.
“Saya tiada komputer riba atau peranti lain, justeru dengan adanya peranti ini maka apabila memulakan pengajian peringkat ijazah nanti, ia akan banyak memudahkan saya membuat tugasan," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai