Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu lagi kematian dalam tahanan di Klang Selatan, peguam syak 'ada tak kena'

Seorang tahanan di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan meninggal dunia ketika dalam tahanan polis hari ini hanya satu hari setelah dia ditangkap, menurut peguam keluarga M Manoharan.

Peguam itu mengatakan ada sesuatu yang "pasti sangat tidak betul" berhubung kematian Umar Faruq Abdullah @ Hemanathan yang berusia 36 tahun dan dia merancang untuk mengemukakan tuntutan terhadap polis dan kerajaan berhubung perkara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Manoharan mengatakan bahawa dia diberitahu oleh balu Umar, Humairah Abdullah @ Kannagi, 25, bahawa lima pegawai polis masuk ke rumahnya di Kuala Selangor semalam untuk menangkap Umar.

Penangkapan itu berlaku antara jam 4 hingga 5 petang hari itu.

Pada pukul 10 pagi hari ini, Humairah dikatakan menerima panggilan daripada polis untuk membawa makanan kepada suaminya kerana sudah lama dia tidak makan.

“Setelah sampai di Balai Polis Daerah Klang Selatan, dia disuruh menunggu.

"Dia menunggu dan menunggu sehingga seorang anggota polis memberitahunya kira-kira jam 3.30 petang bahawa suaminya telah meninggal dunia ketika dikatakan berada dalam tahanan Balai Polis Daerah Klang Selatan.

“Dia terkejut dan menangis tidak terkawal. Dia kemudian menghubungi saya untuk mendapatkan nasihat undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Manoharan mengatakan bahawa polis telah memberitahu Humairah bahawa Umar terjatuh.

"Dia tidak percaya perkara ini. Dia mengatakan bahawa suaminya sangat menyayangi anak-anaknya. (Mustahil) suaminya mati meninggalkan semua orang yang disayanginya begitu saja,” katanya, sambil menambah bahawa pasangan itu mempunyai tiga anak berusia enam bulan hingga lima tahun.

Sementara itu, pegawai penyiasat kes itu mengatakan kepada Manoharan bahawa hakim Klang telah memberikan perintah reman empat hari terhadap Umar hari ini, dan bahawa Umar dikatakan telah berusaha melarikan diri.

"Saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena di sini. Pasti tidak betul.

"Saya meletakkan tanggungjawab kematian Umar Faruq ke atas polis. Saya akan mengemukakan tuntutan terhadap polis dan kerajaan Malaysia kerana menyebabkan kematian Umar Faruq

"Ketua Polis Negara mesti menjawab kematian semasa berada dalam tahanan polis yang berterusan ini," katanya.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed memberitahu Malaysiakini bahawa sepasukan dari kontinjen polis Selangor sedang menyiasat kes itu dan dia akan mengeluarkan kenyataan mengenai kematian Umar esok.

Kematian Umar hanya merupakan yang terbaru dikaitkan dengan tindakan polis dan kematian dalam tahanan di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.

Pada tahun 2017, G Ganeshwaran meninggal dunia di hospital setelah mengadu masalah perubatan semasa disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.

Keluarga mendiang mendakwa Ganeshwaran mengatakan bahawa dia ditendang di kerongkong sebelum tidak sedarkan diri, tetapi polis mengatakan tidak ada unsur khianat kerana tidak ada tanda-tanda kecederaan luaran.

Pada tahun 2019, seorang remaja berusia 18 tahun dan seorang lelaki berusia 24 tahun dengan masalah mental dikatakan diseksa oleh polis di ibu pejabat daerah yang sama untuk mengeluarkan pengakuan mengenai beberapa kes kecurian motosikal.

Kedua-duanya juga ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959, yang memungkinkan penahanan tanpa perbicaraan.

Polis berjanji akan menyiasat tuduhan itu.