Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ProtectHealth siasat aduan wanita terima WhatsApp dari 'doktor' di PPV

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sedang menyiasat aduan seorang wanita yang dihubungi melalui WhatsApp oleh seorang individu yang mengaku sebagai doktor di tempatnya mengambil vaksin.

Wanita itu berkongsi pesanan teks yang diterimanya daripada individu berkenaan di Twitternya.

Berkongsi tangkap layar pesanan yang diterimanya itu, pengguna Twitter itu mengaku bimbang bagaimana doktor berkenaan boleh mendapatkan maklumat peribadinya.

“Bayangkan menerima vaksin, dan (kemudian) harus berasa bimbang macam mana doktor boleh dapat maklumat peribadi anda? Apa ini? @JKJAVMY @Khairykj” ciapnya di Twitter.

Berdasarkan tangkap layar yang turut dimuat naiknya itu, individu dikatakan doktor itu bertanya keadaan wanita berkenaan selepas dia menerima suntikan vaksin.

“Harap awak okay selepas suntikan. Maaf ambil nombor awak tanpa kebenaran. Cuma nak pastikan semua ok selepas suntikan. - Doktor Stesen 3”.

Berdasarkan gambar tangkap layar itu juga, wanita itu nampaknya sudah menyekat nombor individu berkenaan.

 

Bagaimanapun tidak dinyatakan tarikh atau lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kejadian itu berlaku.

Dalam ciapan lain, wanita itu menjelaskan, 'doktor' yang menghubunginya itu bukan doktor yang memberikan vaksin, tapi 'doktor' yang memberikan khdimat rundingan sebelum suntikan.

Malaysiakini sudah menghubungi wanita berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Wanita itu juga memaklumkan yang dia telah melaporkan kejadian berkenaan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan ProtectHealth iaitu anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kemaskini: hal ini sudah dilaporkan ke kedua-dua @JKJAVMY & @protecthealthco,” kata wanita itu dalam ciapan berasingan. 

Sebelum itu, dalam siri ciapan wanita berkenaan, ProtectHealth meninggalkan komen meminta perincian daripada wanita berkenaan dan mengesahkan sedang menyiasat aduan itu.

“Boleh hubungi kami untuk perincian lanjut. Kami sedang menyiasat hal ini”.

Pada Feb, seorang wanita turut berkongsi di Twitter tentang anggota polis yang menghubunginya selepas meminta maklumat peribadinya termasuk nombor telefon dalam satu sekatan jalan.

Menurut laporan terakhir, polis mengambil maklum akan kejadian berkenaan dan sedang menyiasat anggota terlibat.

Ketika dihubungi, sumber dari JKJAV mengesahkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) telah menerima laporan berkenaan isu itu dan siasatan sudah pun dimulakan.

Malaysiakini sudah menghubungi ProtectHealth untuk mendapatkan komen.