Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Taja mereka' - Hamzah jawab pengkritik operasi tangkap Pati

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin hari ini menyarankan wakil rakyat yang memperjuangkan hak pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk menjadi "penaja" golongan berkenaan bagi membantu dalam proses vaksinasi.

Bercakap kepada wartawan di Beranang, Hamzah mengatakan mustahil untuk memberikan vaksin kepada individu yang tidak berdokumen, kerana tidak akan ada cara untuk mengetahui status mereka di negara ini.

"Contohnya Ustaz Hasanuddin, dapatkan orang yang tidak mempunyai dokumen, datang dan berjumpa dengan kita, pergi ke kedutaan, dapatkan dokumen dan kemudian kita akan memberi vaksin kepada mereka," kata Hamzah merujuk kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

Hasanuddin adalah antara dua kumpulan yang terdiri daripada ahli parlimen dan pegawai lain yang mengecam Hamzah berhubung rencana kerajaan membuat operasi menangkap warga asing tanpa dokumen sepanjang tempoh 'lockdown'.

Sementara itu, Hamzah juga mengatakan bahawa mana-mana warga asing tanpa dokumen yang ditangkap dalam operasi tersebut akan ditanya sama ada mereka mempunyai majikan di sini dan majikan akan bertanggungjawab untuk mendaftarkan mereka.

"Bagi sebilangan mereka (warga asing) yang tinggal di luar bandar, adakah mereka akan berani keluar (untuk mendapat vaksin)?

"Sudah tentu mereka tidak berani kerana bagaimana mereka mahu menjelaskan status mereka? Dokumen apa yang mereka ada? Tidak ada," kata Hamzah.

"Itulah sebabnya kami melakukan ini (operasi tangkap warga asing) untuk kebaikan rakyat.

"Kepada para YB yang memperjuangkan orang tanpa dokumen, saya meminta mereka menjadi 'sponsor' kepada orang tak ada dokumen," katanya.

Hamzah sebelumnya melakukan lawatan rasmi ke penjara satelit dan depot Imigresen satelit Beranang, diiringi oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Mohd Daud.

Ketika dimaklumkan bahawa Menteri Sains dan Teknologi Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata warga asing tanpa dokumen tidak akan ditangkap sekiranya tampil untuk mengambil vaksin, Hamzah menegaskan perkara itu telah dibincangkan.

"Dalam perbincangan dengan Khairy, saya mengatakan saya mahu mereka (warga asing tanpa dokumen) mempunyai penaja.

"Sekiranya mereka mempunyai majikan tetapi tidak ada dokumen, kita akan membantu mereka mendapatkan dokumen mereka," kata Hamzah.

Pada 16 Februari, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa warga asing yang tidak berdokumen tidak akan ditangkap ketika mereka tampil untuk vaksinasi Covid-19, sambil menambah bahawa jaminan ini sangat penting dalam mencapai imuniti kelompok.

Selain Hasanuddin dan 15 ahli parlimen pembangkang yang lain, Timbalan Speaker Azalina Osman Said dan pakar penyakit berjangkit Prof Dr Adeeba Kamarulzaman adalah antara anggota Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk Memperbaharui Penjara dan Tempat Tahanan turut membidas Hamzah .

Pengkritik Hamzah sebelum ini menyatakan kebimbangan bahawa warga asing tanpa dokumen akan menolak untuk tampil diberi vaksin sekiranya mereka diancam dengan penangkapan dan kemungkinan dihantar pulang.

Mereka juga menimbulkan kekhuatiran bahawa fasa pertama pandemik Covid-19 tahun lalu menyaksikan banyak kluster melibatkan tahanan di penjara dan depot Imigrasi, suatu situasi yang dikatakan oleh Hamzah sedang ditangani melalui penjara satelit dan depot baru.

Dari lapan penjara satelit yang dirancang, Hamzah mengatakan enam daripadanya sedang beroperasi.