Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Johor, P Pinang umum potongan gaji MB, exco untuk tabung Covid-19

Kerajaan Johor hari ini mengumumkan pemotongan gaji menteri besar dan barisan exco untuk disalurkan kepada tabung bencana Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Besar Johor, Hasni Mohamed berkata potongan gaji selama tiga bulan itu akan disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

"Sejak ditubuhkan pada tahun lalu ekoran penularan Covid-19, Tabung Bencana Negeri Johor sudah menerima sebanyak RM44.83 juta sumbangan dalam bentuk wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak.

"Hingga kini sebanyak RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni juga mengajak semua Adun di Johor untuk menyumbang sebahagian daripada elaun yang diterima mereka ke tabung berkenaan

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa exco Pulau Pinang akan menyumbangkan sebulan gaji mereka kepada Tabung Covid-19 di negeri.

Susulan itu, Yang Di Pertua Dun, Law Choo Kiang akan menyumbangkan sebulan gaji, manakala semua Adun Pulau Pinang akan menyumbangkan 30 peratus gaji mereka bagi bulan Jun kepada Tabung Covid-19  negeri.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan bersama daripada semua Adun Pulau Pinang hari ini.

Ini kali kedua Adun Pulau Pinang menyumbangkan gaji mereka kepada Tabung Covid-19, selepas langkah serupa diambil tahun lalu.

Semalam, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad mengumumkan pemotongan gajinya dan 10 anggota exco selama tiga bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19.

Timbalan Presiden Umno Mohammad Hasan yang juga Adun Rantau pula mengumumkan sumbangan gaji dan elaun selama enam bulan kepada pusat khidmat di kawasan Dun-nya bagi membantu meringan beban penduduk akibat sekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Sebelum ini Mohamad turut menggesa agar sumbangan gaji menteri turut merangkumi elaun dan imbuhan keraian.