Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan teksi: Kami perlu patuh SOP yang mana?

Susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengeluarkan garis panduan baru termasuk had bilangan individu dalam kenderaan.

Bagaimanapun, Pertubuhan Teksi Kereta Sewa Limosin Dan Teksi Lapangan Terbang Malaysia (GTSM) membangkitkan kekeliruan berkaitan perkara itu.

Menurut Yang Dipertua GTSM Kamarudin Mohd Hussain, terdapat pertentangan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Kamarudin berkata, mengikut SIP yang ditetapkan MKN, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), teksi dan perkhidmatan e-kelui hanya boleh membawa seorang penumpang.

Ini bermakna hanya dua orang boleh ada dalam kenderaan pada satu masa, termasuk pemandu. Pengecualian diberikan jika melibatkan urusan perubatan dan kesihatan, di mana pemandu boleh membawa lebih daripada seorang penumpang.

"Tetapi sidang media Ketua Polis Negara (IGP) pula memberitahu dalam satu masa kenderaan kami dibenarkan membawa tiga orang, iaitu seorang pemandu dan dua penumpang.

"Ini telah mewujudkan suasana yang haru-biru dan menimbulkan kekeliruan. Saya sendiri menerima banyak panggilan daripada pemandu dan persatuan yang bertanyakan tentang perkara ini.

"Sehubungan itu kami ingin merayu kepada kerajaan, tolonglah beritahu kami SOP mana yang harus kami ikut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia merujuk sidang media IGP Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin lalu.

Dalam hal berkaitan, seorang pembaca juga membangkitkan persoalan berkenaan SOP untuk perjalanan ketika mendapatkan vaksin.

Dalam SOP MKN, tiga orang dibenarkan dalam satu kenderaan untuk mendapatkan rawatan, perkhidmatan kesihatan, hal keselamatan atau kecemasan. Tiga orang itu termasuk pesakit yang perlu dibawa.

Bagaimanapun, ia tidak menyatakan sama ada klausa itu terpakai bagi perjalanan berkaitan vaksinasi atau tidak.

Malaysiakini telah menghantar pertanyaan kepada Kementerian Pertahanan dan polis untuk penjelasan.

Ketika laporan ini ditulis, seorang jurucakap kementerian memberi maklum balas menerusi infografik Kementerian Pengangkutan yang menyatakan semua teksi hanya dibenarkan membawa seorang penumpang.

Bagaimanapun, bagi soal perubatan, vaksinasi dan kes kecemasan, teksi dibenarkan membawa dua penumpang.