Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sidang maya parlimen: Tak bolehkah Agong isytiharkan, tanya Puad

Seperti banyak pihak, Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi hari ini terus mendesak supaya sidang parlimen diadakan secara maya dan melihat ada ruang untuk itu melalui Istana Negara.

“Apakah Yang di-Pertuan Agong tidak boleh isytiharkan agar sidang parlimen kali ini dibuat secara maya?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan bekas ahli parlimen Umno itu dibuat sebagai menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap respons Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengenai saranan sidang parlimen secara maya sebelum ini.

Sebelum ini Azhar dipetik sebagai berkata banyak pindaan undang-undang perlu dilakukan sebelum sidang parlimen secara maya dapat dilakukan di negara ini.

Kenyataan itu dibuat ketika ramai pemimpin Umno - termasuk timbalan Azhar sendiri, Azalina Othman Said - berpendapat sidang parlimen perlu diadakan bagi membincangkan situasi semasa negara berdepan Covid-19.

Kata ahli parlimen Pengerang itu, sidang tersebut boleh diadakan kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Kata Mohd Puad, Azhar mendakwa sidang Dewan Rakyat secara maya tidak boleh diadakan sebegitu saja kerana ia melibatkan aspek perlembagaan.

Menurut perlembagaan katanya ahli parlimen mestilah hadir secara fizikal di Dewan Rakyat dan kegagalan berbuat demikian akan menghalang mereka daripada mengundi.

"Apakah di bawah darurat, kerajaan tidak boleh wartakan satu ordinan yang membenarkan sidang parlimen dibuat secara maya?" tanya Mohd Puad.

Menurutnya sebelum ini pun sudah ada pelbagai ordinan diwartakan termasuk yang membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan tanpa mendapat kelulusan parlimen terlebih dulu.

“Kalau bersidang secara maya pun tidak boleh, eloklah kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah di ‘alam maya’. Tidak perlu pintu pun,” sindirnya.

Kata-kata sinis itu pula muncul sehari selepas Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob membuat catatan ringkas di Facebook mengenai "pintu" semalam dan mengundang pelbagai spekulasi mengenai situasi semasa dalam kerajaan.