Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KPKT tak boleh bekerja tanpa rujuk pakar - PPPKAM

Keberkesanan langkah sanitasi awam besar-besaran oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekali lagi dipersoalkan, kali ini oleh Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM).

Dalam kenyataan dikeluarkan persatuan itu, mereka juga berpendapat tindakan tanpa bersasar sebegitu dibuat tanpa mengambil kira maklumat sains terkini, justeru merupakan pembaziran.

Selain itu kata Presiden PPPKAM Dr Zainal Ariffin Omar bahan kimia yang digunakan dalam semburan tersebut dikhuatiri memberi kesan buruk kepada masyarakat.

"PPPKAM menyarankan sebelum sesuatu sanitasi atau aktiviti besar yang melibatkan kesihatan rakyat Malaysia perlu mendapat pandangan awal daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam perjuangan memutuskan rantaian Covid-19, semua kementerian di negara ini tidak lagi boleh bekerja secara sendiri atau solo tanpa mendapatkan pandangan pihak yang lebih berpengetahuan dan pakar dalam bidang tersebut," katanya.

Segala perbelanjaan yang digunakan untuk proses berkenaan, kata Zainal Ariffin, sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang lebih khusus terutama memastikan perlindungan diri serta memperkasa sistem kesihatan negara yang kini tenat.

Langkah KPKT menjalankan sanitasi awam besar-besaran sudah ditegur beberapa pakar perubatan sebelum ini. Misalnya pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman yang berpendapat ia adalah pembaziran sumber. 

Dia turut memetik saranan terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengenai langkah berkesan mencegah Covid-19.

Perlu ambil kira penduduk setempat

Pakar kesihatan awam, Dr Lokman Hakim, turut menyokong pandangan Adeeba dan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Hamdan Wahid menunjukkan sumber rujukan mereka bagi proses sanitasi tersebut. 

Untuk rekod di sebalik teguran berkenaan Zuraida tekal mempertahankan langkah berkenaan dan meminta "pihak yang bijak pandai" terbabit tidak meremehkan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melaksanakan sanitasi awam.

"Jadi saya harap pihak-pihak yang bijak pandai janganlah meremehkan usaha pasukan bomba di bawah KPKT ini untuk membantu segala yang termampu dengan kapasiti yang ada.

"Semua rakyat Malaysia mesti ada sikap ini. Kalau tak boleh bantu secara besar-besaran, kita bantu secara kecil-kecilan. Tak guna kalau kita komen tanpa ada usaha untuk bantu," katanya. 

Menurut Zainal Ariffin, dalam keadaan tertentu memang proses sanitasi awam besar-besaran itu memberi faedah iaitu jika membabitkan kawasan merah, jingga dan kuning.

Namun katanya ia mestilah bersasar terutama di kawasan tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik.

Kesudian penduduk setempat juga katanya perlu diambil kira oleh pihak yang berkenaan kerana ada antaranya mengalami masalah kesihatan seperti asma atau dermatitis dan bahan yang digunakan mungkin menjejaskan mereka.

Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan seperti saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan CDC bertarikh 15 Mei 2020.

"Oleh itu PPPKAM amat bersetuju dengan pandangan Dr Adeeba dan Dr Lokman yang menyatakan sanitasi yang dijalankan tidak berasaskan kepada pengetahuan sains terkini dan berpotensi menyebabkan pembaziran sumber ketika negara amat perlu menguruskan perbelanjaannya dengan bijak," katanya.

Sementara itu, Akademi Perubatan Malaysia juga menyokong kenyataan Dr Adeeba, Dr Lokman Hakim dan PPPKAM.

Selain mengatakan pelaksanaan sanitasi awam secara besar-besaran tidak berlandaskan penemuan Sains, mereka juga meminta menteri agar berhati-hati dalam mengeluarkan perbelanjaan agar tidak melakukan pembaziran sumber.

"Oleh itu, sangat menjengkelkan apabila melihat tindakan pembasmian kuman  nasional yang pertama kali dikritik hebat oleh pakar tempatan 15 bulan lalu berulang semula," katanya dalam satu kenyataan.

Mereka juga memetik penemuan CDC di Amerika Syarikat yang mengatakan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengingatkan mengenai bahaya pelaksanaan sanitasi awam pada 16 Mei tahun lalu kerana mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan.

Justeru mereka berharap Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan garis panduan terkini mengenai perkara ini.

"CDC dan WHO telah mengakui bahawa Covid-19 adalah virus bawaan udara. Ini telah menyebabkan garis panduan pengudaraan di banyak negara, termasuk Singapura.

"Banyak bangunan komersial dan kediaman di Malaysia memerlukan pengemaskinian untuk memenuhi piawaian baru dan kita mesti memanfaatkan masa ini untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan agar kita dapat keluar daripada wabak ini," katanya.