ULASAN | Adakah kita sudah berada di puncak jangkitan?
Pemahaman tentang bilakah jangkitan harian berada di puncaknya berhubung dengan konsep melandaikan lengkung penularan Covid-19 akan memberikan kita gambaran mengenai tahap gelombang pandemik yang sedang kita hadapi, dan apa yang harus dilakukan dalam menghadapi gelombang keempat jangkitan ketika ini.
Melandaikan lengkung jangkitan bermaksud mengurangkan jumlah jangkitan dengan mempengaruhi kadar penularannya dengan mengawal kadar pembiakan virus (R naught) melalui langkah-langkah pencegahan mengurangkan kontak sosial yang terdapat dalam Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP), dan pada masa sama meningkatkan keupayaan sistem penjagaan kesihatan untuk menangani peningkatan jumlah jangkitan.
Hasilnya – jumlah jangkitan akan memuncak lebih awal seperti yang ditunjukkan oleh lengkung biru dalam rajah di bawah dengan kes jangkitan yang lebih rendah berbanding dengan senario tanpa langkah-langkah pencegahan sama sekali (lengkung merah).
Berdasarkan graf di atas, terdapat dua fasa melandaikan lengkung. Fasa pertama berlaku apabila angka jangkitan harian mencapai puncaknya. Pada tahap ini lengkung akan melandai (mula merata tanpa begitu curam). Lengkung tidak dapat dilandaikan selagi jangkitan harian belum berpuncak.
Apabila pematuhan "budaya" PKP yang menunjukkan tanggungjawab sosial rakyat menjadi ciri utama PKP – seperti mematuhi penjarakan sosial/fizikal, mengamalkan kebersihan diri secara berkala seperti mencuci tangan, mengelakkan perhimpunan besar dan memakai pelitup muka di khalayak ramai – fasa kedua melandaikan lengkung hingga ke lantai graf akan berlaku seperti yang ditunjukkan dalam rajah, yang kemudiannya akan meruncing ke arah jangkitan sifar.
Di Malaysia, gelombang pertama pandemik Covid-19 tahun lalu bermula pada 25 Januari hingga 2 Mac. Pada 25 Januari, Malaysia mengumumkan tiga kes pertama Covid-19. Puncak jangkitan harian gelombang pertama ini dicatatkan pada 8 Februari dengan empat kes. Lengkung jangkitan mula melandai ke lantai dengan kes sifar selama 11 hari berturut-turut bermula pada 16 Februari, menandakan berakhirnya gelombang pertama.
Pada 27 Februari, kes sifar ini berakhir tetapi kerana jumlah kes baru dari hari itu hingga 2 Mac semuanya berada di bawah empat kes (puncak jangkitan), ia masih merupakan gelombang pertama.
Gelombang kedua bermula pada 3 Mac dengan tujuh kes, mengatasi puncak gelombang pertama (4), dan berakhir pada 1 Oktober (260 kes baru). Sejurus selepas jangkitan harian mencatatkan angka tiga digit untuk pertama kalinya pada 15 Mac dengan 190 kes, PKP 1.0 diumumkan kerajaan, berkuat kuasa pada 18 Mac.
Puncak bagi gelombang kedua ini dicatat pada 4 Jun dengan 277 kes. Sejak itu, lengkung semakin melandai, dengan kes harian baru selepas itu turun naik bagaikan permainan yoyo - terdapat kejadian jangkitan harian satu digit selama beberapa hari. Tetapi ketika ia meningkat, jangkitan harian tidak melebihi puncak 277 kes. Gelombang kedua ini tidak pernah menyaksikan fasa kedua lengkung melandai ke lantai (kes sifar).
Petunjuk pelandaian lengkung
Pada 2 Oktober, gelombang ketiga bermula dengan 287 kes baru, menembusi puncak gelombang kedua (277). Puncak bagi gelombang ketiga adalah 5,728 kes baru yang direkodkan pada 30 Januari tahun ini. Gelombang ketiga berakhir pada 18 Mei dengan 4,865 kes baru tanpa menyaksikan pelandaian lengkung ke lantai (kes sifar), seperti juga pada gelombang kedua.
Pada 19 Mei, kes baru berjumlah 6,075, menembusi puncak gelombang ketiga yang menandakan permulaan gelombang keempat. Adakah gelombang keempat telah mencapai kemuncaknya? Puncak gelombang sebenarnya sukar ditentukan serta merta kerana ia hanya diketahui kemudian.
Umpamanya, ketika puncak gelombang kedua dicatat pada 277 kes pada 4 Jun atau puncak gelombang ketiga pada 30 Januari (5,728), tiada seorang pun yang tahu pada hari tersebut jumlah itu akan menjadi puncak.
Tetapi mempunyai idea kasar tentang bilakah puncak jangkitan akan dicapai adalah penting kerana ia memberi kita petunjuk mengenai pelandaian lengkung jangkitan atau sekurang-kurangnya memberi kita kelegaan bahawa keadaan terburuk sudah berakhir (tanpa implikasi bahawa masalah telah berakhir).
Semalam (1 Jun) kita berada pada hari ke-14 gelombang keempat. Setakat ini, jangkitan harian tertinggi yang dicatatkan dalam 14 hari ini adalah 9,020 kes pada 29 Mei. Mungkinkah ini merupakan puncak bagi gelombang keempat terutama selepas penurunan drastik dalam dua hari berikutnya iaitu 6,999 kes (30 Mei) dan 6,824 kes dua hari lepas (31 Mei)? Mudah-mudahan begitu, walaupun sukar untuk dipastikan.
Namun, berdasarkan corak gelombang sebelumnya, kita tahu puncak gelombang pertama dicapai 14 hari setelah Covid-19 muncul di negara ini; puncak gelombang kedua dan ketiga, kedua-duanya dicapai tiga bulan selepas setiap gelombang bermula. Dari segi jangka masa, gelombang pertama berlangsung selama satu bulan, enam hari; gelombang kedua, tujuh bulan; dan gelombang ketiga, tujuh bulan, 16 hari.
Ini sejajar dengan sains yang mengatakan gelombang susulan akan menyaksikan lebi banyak korban jiwa, penularan tegar jangkitan dan memakan masa yang lebih lama untuk berakhir kerana pelbagai mutasi virus yang menyebabkan munculnya pelbagai varian.
Tetapi yang penting di sini ialah walaupun terdapat langkah pencegahan PKP, jalan menuju melandaikan lengkung akan lebih berpanjangan sekiranya kapasiti sistem penjagaan kesihatan tidak ditingkatkan.
Dengan campur tangan dalam bentuk peningkatan mendadak kapasiti sistem penjagaan kesihatan, lebih banyak wad ICU, lebih banyak ruang kuarantin, lebih banyak kelengkapan pernafasan (ventilator), lebih banyak peralatan untuk ujian dan saringan dan lebih banyak kelengkapan pelindung untuk doktor dan perawat barisan depan dapat disediakan.
Ini semua akan memastikan bilangan orang yang dijangkiti mendapat rawatan perubatan yang diperlukan akan meningkat, lantas meningkatkan kadar pemulihan dan mengurangkan kadar kematian, di bawah senario kadar kes kematian 2%.
Nafas ‘berkumpul semula’
Ini kemudiannya boleh memberi nafas untuk “berkumpul semula” dengan membolehkan beberapa doktor dan jururawat barisan depan berehat, sekali gus mengurangkan lagi jumlah jangkitan di kalangan pekerja kesihatan di barisan depan.
Namun, jika tidak ada langkah pencegahan lain, seperti pelaksanaan PKP Menyeluruh (PKPM) yang kini dilaksanakan, peluang sempit untuk bernafas ini akan menjadi lebih sempit kerana ia juga merupakan peluang sempit bernafas bagi virus Covid-19 yang tersisa untuk membeli masa membentengi diri melalui lebih banyak mutasi untuk gelombang serangan yang seterusnya.
Berdasarkan ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dua hari lepas (31 Mei) ketika melancarkan Pemerkasa Plus bernilai RM40 bilion dalam bentuk bantuan ekonomi yang merangkumi suntikan fiskal langsung RM5b dari kerajaan persekutuan di mana sebahagian besar peruntukan adalah untuk Kementerian Kesihatan meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan, beliau sememangnya bergerak ke arah landasan yang betul, menjadikan Malaysia model yang baik bagi negara-negara yang terlambat mengambil tindakan tersebut kerana kelumpuhan birokrasi.
Antara tindakan yang diambil untuk meningkatkan keupayaan penjagaan kesihatan awam:
RM450j untuk menambah katil hospital dan mendapatkan peralatan untuk unit rawatan rapi, termasuk di hospital perguruan universiti awam di lapangan hospital tentera;
RM550j untuk perbelanjaan yang berkaitan dengan Covid-19 termasuk peningkatan perbelanjaan operasi dan pengurusan, perolehan ubat-ubatan dan reagen, serta pelantikan para pegawai kontrak; dan
Memperpanjang perkhidmatan 14,000 pegawai perubatan dan jururawat kontrak sehingga 2022, dan melantik 500 pekerja penjagaan kesihatan yang dijadualkan bersara wajib tahun ini berdasarkan kontrak.
Mudah-mudahan, peluang sempit yang singkat ini dengan adanya tindakan pencegahan PKPM dan peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan dapat memperpanjang sedikit masa jeda dengan memendekkan masa yang diperlukan untuk lengkung mencapai puncaknya dan juga jangka masa keempat gelombang.
Tetapi rahmat yang tersimpan dalam hal ini adalah program vaksinasi yang dilakukan sekarang yang akan mempercepat proses penemuan puncak dan memendekkan jangka waktu gelombang keempat melalui imuniti kelompok. Juga, siapa tahu semasa peluang sempit ini, ubat-ubatan penting yang dapat menyembuhkan Covid-19 akan muncul, yang kemudiannya akan melandaikan lengkung ke lantai (kes sifar).
Di sinilah kerajaan memerlukan bantuan anda. Sama ada anda berada di barisan depan pertempuran – sebagai tenaga kerja kesihatan dan perkhidmatan penting – atau di belakang garisan, setiap kita mempunyai tugas: mereka yang berada di barisan hadapan bekerja untuk kepentingan mereka yang tinggal di rumah semasa PKPM, dan mereka di belakang garisan mestilah tinggal di rumah sebanyak mungkin semasa PKPM demi kepentingan mereka yang bekerja di barisan hadapan.
JAMARI MOHTAR adalah pengarah media dan komunikasi EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai