Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

75 peratus pergerakan kenderaan berkurangan di Kelantan

Lebih 75 peratus pergerakan kenderaan di Kelantan berkurangan dalam tempoh dua hari, sejak sekatan pergerakan penuh atau lockdown dilaksanakan sejak, semalam.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat, berkata keadaan itu menggambarkan tahap kepatuhan yang baik rakyat di negeri itu dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Katanya, perubahan ketara boleh dilihat di sekitar bandar Kota Bharu dan Tumpat melainkan pada waktu pagi serta petang sahaja yang membabitkan pergerakan ekonomi termasuk mereka yang perlu bekerja.

"Saya sudah buat tinjauan di Pasar Khadijah, Pasa Raya Lotus dan sekatan jalan raya (SJR) di Wakaf Bharu, kita dapati pergerakan yang berlaku hanya membabitkan pergerakan ekonomi, kecemasan atau temujanji hospital sahaja.

"Tiada lagi yang memberi alasan pelik untuk merentas daerah setakat ini. Pada waktu malam pula, keadaan begitu lengang.

"Tinjauan di Pasar Siti Khadijah juga mendapati kepatuhan tinggi prosedur operasi standard (SOP) orang ramai dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama baik," katanya selepas tinjauan di Pasa Raya Lotus dan SJR Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu mendapati suasan yang lengang selain kemasukan kenderaan yang menurun berbanding kebiasaannya. 

Sementara itu Shafien berkata, masih terdapat pengguna jalan raya yang mengemukakan surat lama daripada majikan dan pihaknya memberi kelonggaran untuk beberapa hari.

"Kita memahami mereka mungkin belum mendapat surat baru dari kementerian. Kita bertolak ansur untuk beberapa hari ini, selepas ini barulah kita perketatkan pemeriksaan," katanya.

Tambah Shafien, mulai semalam sebanyak 24 SJR secara statik di seluruh Kelantan, manakala 25 lagi SJR secara bergerak.

"Peningkatan jumlah SJR itu bagi mengelak orang ramai melakukan pergerakan tanpa sebarang urusan penting dan kita akan perketatkan pemeriksaan.

"Kita berharap momentum baik sejak semalam sehingga hari ini dengan kepatuhan SOP rakyat Kelantan melebihi 95 peratus terus berkekalan sehingga tamat pelaksanaan lockdown," katanya.