Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib: Mana bantuan untuk M40?

Bekas perdana menteri, Najib Razak mempertikaikan Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya mengabaikan golongan berpendapatan sederhana M40 dalam bantuan ekonomi terbaru yang diumumkan pada Isnin lalu.

Kata Najib, kumpulan 40 peratus pertengahan (M40) dengan pendapatan isi rumah melebihi RM5,000, tidak akan mendapat manfaat daripada pakej rangsangan Pemerkasa Tambahan.

Ahli Parlimen Pekan itu menyorot bahawa golongan M40 tidak akan mendapat bantuan tunai Bantuan Prihatin Rakyat, moratorium pinjaman, pengeluaran i-Sinar dan i-Lestari, potongan bil elektrik dan saluran Astro percuma, mahu pun moratorium bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Apa bantuan diberi kepada golongan M40 kali ini? Kecuali 95,142 syarikat yang diberi kelulusan setakat ini untuk beroperasi sepanjang tempoh 'total lockdown," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan ekonomi Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion untuk membantu masyarakat dan komuniti perniagaan yang terjejas susulan 'total lockdown'.

Ini termasuk suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion.

Bantuan ekonomi terkini juga bertujuan untuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan awam untuk membendung wabak Covid-19.

Di bawah Pemerkasa Plus, kumpulan B40, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dapat beroperasi semasa PKP layak mendapat moratorium pinjaman.