Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Insiden pesawat China: JK PH gesa Ismail Sabri adakan taklimat dwipartisan

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) mendesak Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan taklimat dwipartisan antara parti pemerintah dan pembangkang untuk menjelaskan maklum balas Malaysia terhadap kejadian 16 pesawat China masuk ke ruang udara Malaysia semalam.

Jawatankuasa PH itu berkata akan menulis surat kepada Ismail supaya meminta taklimat rasmi diadakan dengan panglima Angkatan Tentera Malaysia dan panglima TUDM untuk bersama-sama menghadapi cabaran kedaulatan negara.

"Insiden ini mengancam keselamatan penerbangan, mencabar kedaulatan negara, dan menjejaskan hubungan antarabangsa.

"Mengikut Strategi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), tanggungjawab memelihara keselamatan negara bukan sahaja terletak atas bahu anggota keselamatan semata-mata tetapi juga seluruh warganegara Malaysia," kata jawatankuasa itu pada kenyataan malam ini.

Kenyataan itu ditandatangani bekas menteri pertahanan Mohamad Sabu, bekas timbalannya Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul.

"Kerajaan harus mengemukakan rancangan tindakan yang jelas dan juga membenarkan ahli-ahli parlimen membincangkan insiden mustahak ini demi kepentingan negara," katanya.

"Sekali lagi, insiden ini jelas menunjukkan bahawa walaupun dunia dilanda wabak Covid-19, ancaman konvensional terhadap negara tetap menjadi duri dalam daging negara kita.

"Oleh itu, sangat penting bagi pihak kerajaan untuk melaksanakan program pemodenan ATM berlandaskan Kertas Putih Pertahanan 2019 dengan kadar segera," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, dilaporkan TUDM memintas 16 pesawat tentera China yang terbang di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu semalam.

Insiden kemasukan pesawat tentera China itu berlaku menjelang Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-63 yang disambut hari ini.

Panglima TUDM, Jeneral Ackbal Abdul Samad berkata insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius kepada ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.

Kata Ackbal lagi insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

Kementerian Pertahanan juga telah memaklumkan insiden itu kepada Kementerian Luar Negeri.