Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Berdepan saman RM1.8 juta, Prasarana jamin tanggung bil perubatan penumpang

Berdepan tuntutan saman bernilai RM1.8 juta, Prasarana Malaysia Berhad menegaskan pihaknya akan menanggung semua kos perubatan penumpang yang cedera dalam nahas LRT 24 Mei.

Semalam, keluarga Wee Chee Foong mengumumkan mereka menuntut gantirugi daripada syarikat berkaitan kerajaan itu kerana kecuaian.

Tukang masak berusia 52 tahuan itu salah seorang daripada 213 penumpang tren yang mengalami kecederaan parah di kepala dan tulang belakang semasa nahas berkenaan.

Sudah lapan hari sejak dia dimasukkan ke hospital dan dia masih belum sedar dan kekal di unit rawatan rapi (ICU).

Pada satu kenyataan hari ini, pemangku presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Norlia Noah mengesahkan mereka telah menerima surat tuntutan undang-undang daripada keluarga Wong.

"Notis undang-undang telah diserahkan kepada penasihat undang-undang Prasarana yang dilantik untuk pertimbangan dan tindakan segera," katanya.

Norlila memberi jaminan Prasarana akan menanggung perbelanjaan perubatannya.

“Kebajikan penumpang kami terus menjadi keutamaan. Prasarana dari semenjak mengetahui insiden itu mengambil langkah segera untuk sama ada menghubungi penumpang terlibat atau ahli keluarga mereka.

"Kami memahami En Wong kini masih menjalani rawatan di unit rawatan rapi, Hospital Kuala Lumpur. 

"Sumbangan ihsan (bantuan khas RM1,000) kepada beliau akan disampaikan sebaik sahaja keadaan sesuai untuk berbuat demikian.

"Kami memberi jaminan perbelanjaan perubatan untuk pembedahan dan rawatan lain di Hospital Kuala Lumpur akan ditanggung sepenuhnya oleh Prasarana dan kami mendoakan supaya En Wong segera sembuh,” kata Norlila.

Norlila berkata Prasarana telah dapat mengenal pasti 136 daripada 213 penumpang yang terlibat dalam nahas itu. Tiga, termasuk Wong, masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Ini bermaksud 77 penumpang masih tidak dikenali.

Pada sidang media semalam, Joyce Wong, isteri kepada Wong berkata dia kesal kerana Prasarana kerana tidak meminta maaf, memberikan mereka surat atau menawarkan sokongan moral.

Joyce juga berkata bayaran khas RM1,000 itu tidak mencukupi kerana suaminya mungkin memerlukan rawatan susulan selepas keluar hospital.

Norlila hari ini berkata Prasarana akan memberikan bantuan kewangan untuk menampung "perbelanjaan perubatan" dan "rawatan susulan" penumpang yang terlibat dalam nahas itu.

Pun begitu, dia tidak menyatakan jumlah bantuan kewangan yang akan diberikan.

Kata Norlila lagi, penumpang, keluarga dan orang tersayang mereka juga mendapat akses perkhidmatan kaunseling daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan "selama mana yang diperlukan".

[Baca berita asal]