Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ingkar SOP: Tempoh nasihat sudah lama berakhir - IGP

Tempoh memberikan nasihat, sudah lama berakhir - begitu peringatan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani buat pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tanpa sebab munasabah sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.

Katanya, setelah lebih setahun rakyat hidup dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) pelbagai peringkat, dia percaya rakyat sudah faham mengenai pelaksanaan PKP - termasuklah kompaun yang terlibat.

“Saya rasa, kita sudah 430 hari lebih kita berada dalam PKP, saya percaya dan saya yakin anggota masyarakat memahami tujuan dan juga pelaksanaan PKP ini.

“Jadi, pada pandangan kita, mood atau tempoh nasihat ini sudah lama berakhir,” katanya dalam sidang media khas polis di Bukit Aman hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanyakan apakah polis akan terus mengeluarkan kompaun ke atas pihak yang melanggar SOP, atau mereka akan memberikan nasihat terlebih dahulu.

Bermula tengah malam ini (1 Jun), sekatan pergerakan penuh akan berkuat kuasa selama 14 hari sehingga 14 Jun nanti.

Semua sektor ekonomi dan sosial diarahkan tutup, kecuali 17 sektor yang dianggap perkhidmatan perlu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.