Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bantuan khas PKP? - Perutusan khas Muhyiddin 9 malam ini

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan menyampaikan satu perutusan khas berkaitan Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP Penuh), dijadualkan pada jam 9 malam ini.

Perutusan khas itu akan disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan termasuk RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro 502, myFreeview 121, unifi TV 631, LIVE Facebook & Youtube Bernama TV.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau total lockdown di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 Jun.

Susulan itu, Umno, PKR dan Amanah menggesa kerajaan mengumumkan pakej bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank kepada rakyat.

Pada 11 Mei lalu, Bank Negara berkata moratorium pinjaman menyeluruh mungkin bukan penyelesaian terbaik bagi peminjam, sebaliknya mereka harus berunding dengan pihak bank untuk membantu memenuhi obligasi hutang mereka.

Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata semua bank mempunyai pelan bantuan pembayaran termasuk moratorium pinjaman bersasar dan ia dapat ditawarkan kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan.

Peminjam juga katanya boleh menggunakan pelbagai saluran yang disediakan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bulan lalu berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan lain.