PDRM semak kesihatan tahanan terlebih dahulu
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat semakan kesihatan terlebih dahulu terhadap setiap suspek yang ditahan, kata Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Acryl Sani, berkata langkah itu merupakan penambahbaikan yang dilakukan PDRM bagi memastikan kejadian kematian dalam tahanan polis tidak berulang.
“Berikutan insiden tahanan yang mati di dalam lokap, bagi tujuan pentadbiran buat sementara waktu ini, kita telah mengarahkan semua pegawai penyiasat atau siapa saja anggota polis yang menahan atau membawa balik mana-mana suspek untuk ditahan, mereka perlu membuat semakan kesihatan terlebih dahulu sama ada kepada orang yang ditahan atau kepada waris terdekat orang yang disyaki tersebut,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media khas di Bukit Aman petang tadi.
Katanya, polis memandang serius isu kematian dalam tahanan dan sentiasa berusaha menambah baik cara pengendalian tahanan.
“Kita pun tak mahu insiden-insiden seperti ini berlaku. Kalau kita lihat sejak akhir-akhir ini, cara kita mengendalikan tahanan pun semakin bertambah baik, (sudah tentu) banyak lagi perkara boleh diperbaiki.
“Tetapi kita sentiasa berusaha dari masa ke masa, untuk menambah baik," katanya.
Acryl Sani ditanya berkenaan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tiga hari lalu yang mengarahkan PDRM memulakan siasatan menyeluruh berhubung kes kematian dalam tahanan.
KDN juga, melalui PDRM, menzahirkan kesediaan untuk menambah baik SOP mengenai penahanan suspek dalam lokap dari semasa ke semasa bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang.
Alu-alukan EAIC siasat PDRM
Isu kematian dalam tahanan kembali hangat diperkatakan selepas kematian A Ganapathy pada April lalu.
Keluarga Ganapathy mendakwa dia dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong akibat menghidap penyakit diabetes. Bagaimanapun pihak polis berkata tiada bukti menunjukkan Ganapathy dipukul ketika dalam tahanan.
Selain itu berlaku satu lagi insiden minggu lepas membabitkan Surendran Shanker, 21 yang meninggal dunia di Hospital Kluang beberapa minggu setelah dipindahkan ke Penjara Simpang Renggam, di Johor.
Kematian mereka mengundang reaksi daripada pelbagai pihak, termasuk ahli politik dan NGO hak asasi manusia.
Sementara itu Acryl Sani turut mengalu-alukan agensi seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC/Siap) untuk menyiasat PDRM berkenaan kematian dalam tahanan sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan polis.
“Kita sedang berusaha untuk membawa PDRM ke arah satu perkhidmatan polis yang lebih baik dan sentiasa rapat dengan masyarakat,” tambahnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai