Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

200,000 penduduk Kelantan akan divaksin Jun ini - Exco

Kerajaan negeri Kelantan menyasarkan 200,000 penduduk di negeri ini akan menerima suntikan vaksin pada Jun, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin.

Beliau berkata proses berkenaan dapat dilaksanakan berikutan Kelantan akan menerima 120,000 dos vaksin Sinovac mulai Jun.

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) telah maklumkan Kelantan akan dapat 120,000 dos vaksin Sinovac sebulan mulai Jun.

"Jadi dicampur dengan vaksin Pfizer, kita ada 200,000 dos vaksin untuk program vaksinasi kepada penduduk di negeri ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.

Dr Izani berkata sebanyak 60,000 penduduk negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin manakala 110,000 orang telah menerima suntikan dos pertama.

Berdasarkan laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, sebanyak 419,425 penduduk Kelantan telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat hari ini.

— Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.