Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli PKR didakwa hina Agong: Ada hak menegur tetapi jaga tatasusila - Anwar

PKR telah menegur anggotanya Iswardy Morni agar menjaga tatasusila ketika bersuara berkenaan isu semasa, kata presidennya Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, kata Anwar, amaran terbuka terpaksa dikeluarkan selepas teguran tersebut tidak diendahkan.

“...Kita kena ingat keputusan (teguran) PKR itu pada April dan tidak ada kena mengena dengan kenyataan terbarunya.

"Bulan April kita sudah nasihatkan dia bahawa boleh tegur tetapi haruslah jaga tatasusila. Kita nasihatkan boleh tegur tetapi jaga kerana ada peraturan kita, itu saja kita lakukan.

“Tetapi dia tidak meneruskan (mematuhi teguran) maka kita terpaksa memberi amaran secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV di Kompleks Belia dan Sukan di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Iswardy, 40, direman selama dua hari sejak semalam selepas didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong. Ia dibuat menerusi suaran langsung di Youtube ketika mengulas pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang akan berkuatkuasa malam ini.

Dalam kenyataan di Facebook semalam, dia menafikan membuat penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya rayuan agar baginda campur tangan setelah merasakan kerajaan gagal menangani wabak Covid-19.

PKR menerusi pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil berkata kenyataan Iswardy tidak mewakili PKR dan parti menunggu siasatan polis sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Iswardy.

Kenyataan itu mengundang kritikan hebat oleh sesetangah pihak.

Pada masa sama, Anwar berkata PKR tetap tidak berganjak dalam menolak Akta Hasutan 1948.

“Apakah saya setuju dengan tindakan Akta Hasutan? Saya tidak setuju. Secara prinsip kita tidak setuju (pihak berkuasa) guna Akta Hasutan.

“Apakah saya setuju dia diberikan bantuan khidmat guaman? Ya, ini hak setiap rakyat dapat perlindungan guaman.

“Apakah tidak wajar dia menegur? Itu hak setiap rakyat menegur terutama dalam keadaan sekarang, cuma ada kaedah dan ada kebijaksanaannya,” katanya lagi.

Iswardy disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.