Khairuddin: M'sia kesal layanan EU terhadap minyak sawit
Permohonan Malaysia untuk menubuhkan panel bagi meneliti langkah yang diambil oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam pelaksanaan Peraturan Perwakilan di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbarui Kesatuan Eropah 2018/2001 (EU RED II) telah diluluskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Jumaat lepas.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata permohonan kali kedua ini diluluskan oleh Mesyuarat Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB) di bawah WTO selepas permohonan pertama tidak dipersetujui EU pada 28 April lepas.
Katanya Malaysia akan terus komited dalam meneruskan tindakan undang-undang terhadap EU selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Julai 2020 dan pemfailan kes yang dibuat pada 15 Jan 2021.
“Sebagai negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia kesal dengan langkah EU dalam memberi layanan kepada minyak sawit berbanding minyak sayuran lain.
“Tindakan ini adalah perlu dalam melindungi kepentingan industri sawit negara yang telah memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara khususnya kepada pekebun kecil sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairuddin, KPPK dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan melaksanakan persediaan yang sewajarnya bagi mempertahankan industri sawit negara.
“Permohonan ini dibuat berikutan tiada penyelesaian dicapai dalam konsultasi yang telah diadakan bersama EU pada 17 Mac lepas,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai