Surat kebenaran Miti untuk perjalanan bekerja terbatal mulai 1 Jun
Surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terbatal dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama yang berkuat kuasa mulai 1 hingga 14 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan keputusan tersebut surat kebenaran perjalanan perlu dimohon kepada kementerian yang berkaitan.
"Jika mereka bekerja di bidang pertanian, mereka perlu memohon dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
"Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di Putrajaya hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang membentangkan laporan mengenai perkembangan situasi Covid-19 negara.
Mengulas mengenai pekerja swasta dipaksa bekerja oleh majikan walaupun kerajaan telah membuat keputusan hanya 60 peratus dibenarkan bekerja (di tempat kerja) seperti dilaporkan dalam media sosial, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan.
"Tindakan paling tegas perlu diambil kepada majikan yang degil. Saya juga berharap pekerja melapor segera sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan," katanya.
Dalam pada itu katanya, PKP kali ini adalah untuk mengurangkan pergerakan dan aktiviti luar hanya bila benar-benar perlu sahaja.
Katanya dengan penutupan sektor ekonomi dan mengehadkan jumlah pekerja yang bergerak daripada 15 juta kepada 1.5 juta sahaja dan sekiranya semua pihak patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan, ia diyakini akan melandaikan lengkuk jangkitan.
Tegasnya dalam masa yang sama, pihak swasta juga akan mematuhi arahan kerajaan agar usaha untuk mengekang Covid-19 kali ini akan berhasil.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai