Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Golongan antivaksin hasut orang ramai boleh dikenakan tindakan'

Golongan antivaksin yang dikesan cuba menghasut orang ramai agar tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan undang-undang, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata sesiapa yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, serta peruntukan di bawah Ordinan Darurat 2021.

"Selain Akta Hasutan 1948, kita juga mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang dibawah Ordinan Darurat 2021.

"Untuk golongan berkenaan (antivaksin), kita tidak perlukan undang-undang baru sebaliknya boleh dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Tidak perlu undang-undang baru kalau keluar kenyataan kategori menghasut ataupun mencabar undang-undang, boleh diambil tindakan ikut undang-undang sedia ada. Kalau hasut atau provokasi tidak wajar, kita akan ambil tindakan," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengagihan saguhati RM20 kepada penerima vaksin Parlimen Kota Bharu di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Sementara itu Takiyuddin berkata hampir 100 penerima vaksin di parlimen itu tampil menuntut sumbangan RM20 yang disediakan selepas 24 jam insentif itu diumumkan.

Katanya, sumbangan itu sebagai galakan kepada rakyat supaya mengambil suntikan vaksin tersebut dan diambil daripada peruntukan RM20,000 oleh kerajaan kepada setiap ahli Parlimen untuk mempromosikan program vaksin.

"Jadi di Kota Bharu saya gunakan peruntukan memberi saguhati kepada mereka yang ambil suntikan pertama atau kedua secara tunai dan kita juga menyediakan kenderaan untuk bawa penerima ke pusat pemberian vaksin (PPV)

"Walaupun jumlah sagu hati ini sedikit, ia sebagai semangat kepada orang ramai dan kita buka untuk tempoh sebulan," katanya.