Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Kerajaan yang perlu dipimpin

ULASAN | Tugas utama perdana menteri adalah untuk memimpin negeri-negeri dan rakyat di Malaysia.

Namun apa yang  berlaku beberapa hari lalu adalah sebaliknya, di mana Johor menunjuk jalan memimpin kepada perdana menteri berhubung tindakan yang sepatutnya untuk menangani krisis Covid-19.

Di atas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskanda, Adun dan anggota Parlimen Johor bermesyuarat untuk mencari jalan penyelesaian krisis Covid-19. Rakyat menjunjung kasih atas inisiatif dan keprihatinan Tuanku yang berjiwa rakyat.

Bagaimanapun Muhyiddin Yassin yang merupakan ahli Parlimen dari Johor tidak hadir.

Lebih ironi, atau mungkin secara kebetulan, selepas perbincangan mesyuarat dan juga cadangan Sultan Johor, "total lockdown" telah diumumkan oleh Muhyiddin pada malam tadi.

(Untuk rekod, Sultan Ibrahim mencadangkan PKP penuh secara bersasar, mengikut negeri atau rantau.)

Ramai yang berpendapat ia kelihatan seolah-olah negeri telah menunjuk jalan memimpin kepada seorang perdana menteri yang lemah dalam isu kritikal Covid-19 ini.

Perdana menteri memang telah lama kelihatan lemah mentadbir kerana ramai menterinya dan "golongan kayangan" yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, seperti tidak kuarantin dan tiada memakai pelitup muka, tidak dikenakan tindakan sewajarnya.

Tatkala masjid dan surau dikenakan kawalan ketat, pusat judi di Genting sebelum ini bebas beroperasi  dan menteri bertanggungjawab berkata dia tidak mengetahuinya.

Dengan bilangan menteri dan timbalan menteri seramai 70 orang bertaraf menteri, kerajaan ini masih gagal bertindak atau memberanikan diri untuk memimpin negara dengan bijaksana dan berwawasan.

Jadi kalau kerajaan yang besar tetapi lemah ini tiada wawasan, tiada kebijaksanaan, tiada watak kepimpinan dan tidak berani untuk bersidang di Parlimen, untuk apakah kerajaan ini wujud?

Kerajaan dan perdana menteri yang tidak berwibawa dan bermaya untuk memimpin tetapi perlu dipimpin perlulah dengan bermaruah menyerah teraju negara kepada mereka yang lebih layak.

Lagipun kerajaan ini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada PRU14.

Seperti diakui oleh presiden PAS sendiri, kerajaan hari ini adalah "kerajaan tebuk atap". Oleh kerana mereka datang dari arah langit melalui atap yang ditebuklah rakyat menggelar mereka golongan kayangan yang berlagak kebal serta tidak menghayati serta faham realiti sebenar rakyat marhaen. 


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi Amanah Terengganu dan anggota Dewan Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.