Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Penyelesaian 2 negara - idea yang wajar diketepikan

Secara umumnya rakyat Malaysia amat bersimpati terhadap rakyat Palestin semasa serangan ganas yang membunuh baru-baru ini ke atas Gaza oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan Israel itu.

Walaupun secara umum rakyat berpuas hati dengan pendirian Malaysia tersebut namun kencaman yang dibuat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut mengeluarkan kenyataan. Namun, kenyataan beliau sangat bertentangan.

Beliau sangat menyokong tindakan Israel dan menekankan hak Israel mempertahankan diri daripada roket Hamas.

Sudah tentu, beliau mengelak daripada menyebut peristiwa yang menyebabkan tindakan Hamas, khususnya pemindahan etnik keluarga Palestin daripada kediaman mereka di Sheikh Jarrah dan serangan biadap walaupun tanpa provokasi oleh polis Israel terhadap jemaah Masjid Al-Aqsa, Ramadan lalu.

Dengan kata lain, kenyataan Joe Biden adalah sangat tidak adil terhadap rakyat Palestin. Bagaimanapun tindakan beliau tersebut sudah diramalkan.

Apa yang lebih menarik untuk diperhatikan, di sebalik kenyataan berbeza PM Malaysia dan presiden AS, terdapat istilah umum yang digunakan oleh kedua-dua pemimpin.

Kedua-duanya menekankan bahawa penyelesaian sebenar bagi konflik tersebut terletak pada penyelesaian dua negara.

Walaupun mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Joe Biden itu sangat mengecewakan, tetapi ia tidak menghairankan.

Namun, apabila mendengar ucapan yang sama daripada perdana menteri Malaysia, ia menyedihkan dan bahkan menjengkelkan.

Ini jelas mencerminkan kurangnya pemahaman beliau tentang apa yang terjadi di Palestin selama tujuh dekad terakhir atau mungkin beliau ingin mengelak daripada sebarang perselisihan dengan AS mengenai langkah-langkah penyelesaian lain bagi mengakhiri penderitaan rakyat Palestin.

Israel tak akan terima

Satu hakikat yang perlu disedari ialah cadangan penyelesaian dua negara ini sebenarnya tidak akan membuahkan hasil kerana Israel sendiri tidak akan menerimanya langsung sebagai penyelesaian.

Pada masa yang sama AS juga tidak pernah menunjukkan sebarang usaha politik untuk memaksa Israel mengubah pendiriannya.

Alasan asas mengapa penyelesaian dua negara tidak dapat diterima langsung oleh Israel adalah kerana ia bertentangan secara langsung dengan objektif utama Zionisme yang ditetapkan pengasasnya dan diteruskan pengikutnya apabila mereka memutuskan mendirikan tanah air orang Yahudi di Palestin. Mereka sangat jelas sejak awal perancangan bahawa projek mereka di Palestin bukan sekadar projek penjajahan biasa tetapi juga projek penjajahan oleh pendatang Yahudi yang percaya dengan pandangan Zionis.

Oleh itu, projek ini memerlukan demografi negara yang penduduk negara berkenaan mesti terdiri daripada orang-orang Yahudi sepenuhnya atau hampir kesemuanya orang Yahudi. Natijah daripada pegangan tersebut, para pemimpin Zionis selalu menganggap penduduk pribumi Palestin sebagai halangan terbesar untuk projek ini. Mereka dipandang sebagai ‘makhluk asing’ yang mesti dikeluarkan daripada tanah tersebut.

Berdasarkan sejarah 1947, orang Yahudi hanya satu pertiga daripada penduduk Palestin. Tambahan pula, tempoh masa kebanyakan mereka yang datang ke Palestin dari Eropah hanya tiga tahun sebelum 1947. Oleh itu, jumlah penduduk Yahudi yang kecil berbanding dengan rakyat Palestin adalah suatu masalah yang golongan Zionis perlu selesaikan segera.

Pembahagian kawasan

Israel bernasib baik ketika itu kerana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyelamatkan mereka melalui pembahagian kawasan di Palestin yang hampir 50% kawasan diberikan kepada Yahudi walaupun mereka adalah minoriti, sementara yang selebihnya diberikan kepada warga Palestin.

Rancangan pembahagian ini adalah strategi yang bijak untuk memastikan orang Yahudi masih mempunyai kawalan, selain melindungi imej orang-orang Yahudi yang berminat untuk melaksanakan sistem pemerintahan demokratik di sana.

Serangan pada tahun 1948 ke atas kampung-kampung di Palestin oleh gerombolan-gerombolan paramilitari Yahudi mengurangkan masalah bagi golongan Zionis kerana lebih daripada 750,000 orang Palestin yang ketakutan telah dipaksa meninggalkan tanah air mereka.

Namun, puak Zionis sangat jelas bahawa projek mereka untuk mendirikan sebuah negara Zionis yang terbentang dari Sungai Jordan sehingga ke Laut Mediterranean belum selesai. Oleh itu, mereka merancang serangan awal terhadap tentera Arab pada tahun 1967 yang mencetuskan peperangan. Dengan kemenangan Zionis dalam peperangan tersebut, maka Jerusalem Timur dan Tebing Barat dikuasai Israel.

Namun, kemenangan tersebut menimbulkan masalah lain bagi Israel kerana sejumlah besar ‘makhluk asing’ terdapat di situ. ‘Makhluk asing’ yang masih tidak melarikan diri daripada tanah tersebut kini mencipta kembali 'masalah demografi' bagi Zionis. Puak Zionis hanya mahukan tanah tersebut dan bukan orang-orang Palestin yang berada di situ. Pada masa yang sama tidak mungkin mereka dapat mengusir ke semua orang-orang Palestin dari tanah itu pada masa tersebut.

Penjajahan berterusan

Penyelesaian bagi masalah Zionis ini adalah dengan memastikan rakyat Palestin terus berada bawah penjajahan mereka secara berterusan. Dengan cara ini, rakyat Palestin tidak akan dapat memperoleh hak sebagai warganegara Israel dan dengan demikian dapat mempertahankan demografi yang diingini Zionis. Bagi pihak Zionis pada masa itu, orang Arab boleh dibiarkan wujud tetapi kewujudan mereka di Tebing Barat adalah sebagai manusia yang bertaraf lebih rendah dan pergerakan mereka terbatas pada beberapa bantustan (kawasan yang dikhaskan untuk penduduk pribumi bagi tujuan pengasingan dalam dasar Aparteid) atau wilayah-wilayah kecil yang dikelilingi oleh wilayah besar Israel.

Pada masa yang sama, Israel terus memperluaskan jumlah penempatannya di Tebing Barat. Ia polisi yang diguna pakai oleh semua kerajaan Israel sama ada yang berada di kiri atau kanan spektrum politik negara berkenaan. Fakta yang tidak dapat dinafikan adalah setiap pemerintah Israel semenjak tahun 1967 membangunkan penempatan baru, yang selalu mereka sebut sebagai "Judea dan Samaria" dan dianggap penting dalam penubuhan "Eretz Israel" (Tanah Israel).

Bahkan kerajaan Yitzhak Rabin, perdana menteri Israel yang bersayap kiri dan yang turut sama menandatangani rancangan Perjanjian Oslo yang menekankan pentingnya penyelesaian dua negara, turut terlibat dalam meningkatkan penempatan baru untuk Israel. Bahkan, di bawah pimpinannya, bilangan penempatan meningkat tiga kali ganda walaupun pembinaan penempatan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Pada tahun 1995, pemerintah Rabin membelanjakan USD$600 juta untuk membina jalan berturap bagi menghubungkan penempatan-penempatan Israel di Tebing Barat, yang rakyat Palestin dilarang menggunakannya. Sekiranya Rabin serius membiarkan orang-orang Palestin menguasai Tebing Barat bawah apa yang disebutkan sebagai penyelesaian dua negara, mengapa perlu beliau bersusah payah menghabiskan banyak wang untuk membina jalan baru tersebut?

Tiada tawaran serius

Hakikat yang berlaku selepas Perjanjian Oslo, Israel tidak pernah membuat tawaran serius yang boleh disetujui oleh rakyat Palestin. "Negara Palestin'' yang ditawarkan kepada mereka merupakan tanah-tanah yang terpisah. Tambahan pula, bawah syarat-syarat yang ditawarkan itu, Israel perlu memastikan kesemua penempatannya di Tebing Barat disatukan. Sedangkan penempatan-penempatan ini berada di sekeliling Jerusalem Timur dan oleh itu memisahkannya terus daripada Tebing Barat. Penempatan-penempatan ini juga dibangunkan di atas akuifer (bahagian bawah tanah yang terdiri daripada kerikil atau batu berliang yang mengandungi air) sehingga menafikan penguasaan rakyat Palestin terhadap sumber air di tanah yang seharusnya menjadi negara mereka.

Di samping itu, Israel juga berkeras untuk menguasai sepenuhnya Lembah Jordan dan mensyaratkan juga supaya negara Palestin didemiliterisasikan (tiada pasukan tentera) sepenuhnya. Dan yang terakhir, Israel mahukan kawalan sepenuhnya ke atas ruang udara dan sempadan negara baru "Palestin".

Oleh kerana syarat-syarat perjanjian tersebut tidak dapat diterima sama sekali oleh rakyat Palestin, maka apa yang harus dilakukan oleh mereka? Adakah mereka perlu mendapatkan bantuan daripada masyarakat antarabangsa? Realitinya ialah semenjak lima dekad lalu masyarakat antarabangsa tidak melakukan apa-apa untuk menjadikan penyelesaian dua negara menjadi kenyataan, walaupun setelah perjanjian Oslo ditandatangani pada tahun 1993. Bahkan pada masa ini pun, masyarakat antarabangsa masih tidak memberi tekanan terhadap Israel supaya menarik diri dari Tebing Barat. Pendek kata, sejak penyelesaian dua negara diusulkan semasa persidangan Madrid pada tahun 1991 dan dimasukkan dalam Perjanjian Oslo pada tahun 1993, kemungkinan ia terlaksana semakin hari semakin kabur.

Alasan menyebut penyelesaian 2 negara hingga kini

Berdasarkan realiti yang berlaku tersebut, mengapa masyarakat antarabangsa masih menyebut penyelesaian dua negara sebagai penyelesaian sehingga ke hari ini? Terdapat dua alasan yang mungkin. Alasan pertama, (alasan ini merujuk kepada Amerika Syarikat dan Eropah) negara-negara ini tidak berminat untuk mencari jalan keluar alternatif kerana penyelesaian seperti itu harus juga menangani isu pelanggaran hak asasi manusia yang sedang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin. Dengan kata lain, mereka tidak berminat untuk menghentikan Israel daripada meneruskan kekejaman dalam usaha untuk meningkatkan pegangan Israel di Tebing Barat dan untuk merampas lebih banyak tanah, sehingga mengakibatkan rakyat Palestin tidak memiliki apa-apa untuk membolehkan mereka berdaya maju di masa depan.

Alasan yang kedua, dan ini mungkin lebih merujuk kepada perdana menteri Malaysia, kerana beliau diberitahu bahawa gesaan penyelesaian dua negara itu akan menjadikan Malaysia seolah-olah berada di pihak Palestin dan pada masa yang sama tidak perlu melakukan apa-apa bentuk tindakan yang bermakna yang boleh mengakibatkan negara ini bertelagah dengan Amerika Syarikat dan negara-negara barat. Kemungkinan besar beliau telah dimaklumkan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara barat yang lain lebih penting bagi ekonomi negara ini, dan masa depan ekonomi pula akan menjadi penentu nasib bagi politiknya yang lebih berpengaruh pada masa depan.

Kesimpulannya, berdasarkan fakta dan hujah yang dibentangkan di atas, amat jelas cadangan penyelesaian dua negara kepada masalah yang sedang berlaku di Palestin sekarang adalah idea yang kosong dan tidak bermakna. Masyarakat di seluruh dunia yang mempunyai hati nurani perlu mula mendesak kerajaan masing-masing untuk menggugurkan idea penyelesaian dua negara ini dengan segera. Sebaliknya kita perlu menggesa pemimpin-pemimpin di negara masing-masing agar menumpukan perhatian kepada tindakan yang lebih bermakna untuk menonjolkan sifat Aparteid Israel dan seterusnya memboikot negara tersebut sehingga ia menghentikan pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin yang dilakukannya secara sistematik selama ini.

Kebebasan, keadilan, dan kesaksamaan bagi rakyat Palestin memerlukan gabungan kesungguhan yang ikhlas dan tekad yang kuat. Sikap separuh hati dan hipokrit hanya akan memanjangkan penderitaan semua pihak yang terlibat.


PROF MOHD NAZARI ISMAIL ialah pengerusi BDS Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.