Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wartawan tulis berita wang RM9.95 juta Shafee berdasar kenyataan media

Seorang wartawan kanan mengesahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menulis berita mengenai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung wang RM9.5 juta, berdasarkan kenyataan media peguam itu.

Wartawan portal bahasa Inggeris Malay Mail, Lim Lee Ting, 32, berkata kenyataan media bertajuk ‘Press Statement of Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah Pertaining to the RM9.5 million’ itu diterimanya pada 8 Sept 2018 daripada peguam Muhammad Farhan yang juga anak kepada Muhammad Shafee, dan seterusnya diproses menjadi empat berita.

Menurut Lim, empat berita yang ditulis berdasarkan kenyataan media itu telah disemak dan kemudiannya diterbitkan di laman web Malay Mail pada hari sama.

“Kesemua laporan berita itu antaranya menyatakan bahawa Muhammad Shafee mendakwa beliau telah menerima sebanyak RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sebagai bayaran untuk kes pendakwaan (kes liwat II) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendakwa bayaran tersebut adalah untuk fi guaman berkaitan 46 petisyen pilihan raya yang melibatkan parti politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO bagi tahun 2004 dan 2006.

“Salah satu laporan berita daripada kenyataan media yang diproses tersebut mengandungi dakwaan Tan Sri Shafee telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai isu pembayaran RM9.5 juta,” katanya.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Lim berkata beliau menerima kenyataan media enam muka surat itu dalam format PDF melalui aplikasi Whatsapp dan kenyataan media itu diletak nama penulisnya sebagai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertarikh 8 Sept 2018.

“Saya kemudian telah menghantar kenyataan media sebanyak 15 perenggan tersebut kepada pengarang kerana mengetahui Muhammad Farhan adalah sumber yang boleh dipercayai sebagai anak Tan Sri Muhammad Shafee," katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy itu, Lim turut mengesahkan bahawa beliau sendiri yang menyediakan keempat-empat berita tersebut berdasarkan kenyataan media yang diterimanya daripada Muhammad Farhan.

Lim berkata beberapa hari kemudian, beliau mengetahui daripada laporan berita rakan sekerjanya bahawa Muhammad Shafee didakwa di mahkamah di sini berhubung isu RM9.5 juta.

“Pada 23 Okt 2018, saya telah dihubungi pihak SPRM untuk mengesahkan kenyataan media yang saya terima daripada Muhammad Farhan dan satu perjumpaan diatur bersama pegawai penyiasat kes, Mohamad Farid Jabar di pejabat Malay Mail tujuh hari kemudian (30 Okt).

“Saya diminta untuk membanding dan mengesahkan kenyataan media yang saya terima (daripada Muhammad Farhan) dengan kenyataan media yang ditunjukkan SPRM. Saya mendapati, selain daripada jumlah muka surat yang berlainan, kandungan kedua-dua kenyataan media ini kebanyakannya adalah sama," katanya.

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee, Lim berkata sebelum 23 Okt 2018, beliau tidak pernah dihubungi oleh mana-mana pegawai SPRM untuk memberi keterangan berhubung berita yang ditulisnya.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung pada 4 Jun ini.

- Bernama