Abim hantar kertas kerja vaksin rumah ke rumah di Kelantan
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Kelantan menghantar kertas kerja kepada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencadangkan program vaksinasi rumah ke rumah terutamanya dalam kalangan warga emas.
Naib Pengerusi Abim Kelantan, Muhammad Aqil Iqbal Mohd Zulkifli berkata, pihaknya sudah menghantar kertas kerja tersebut semalam, dan masih dalam proses perbincangan bersama beberapa pihak yang terlibat.
“Kita dah siap satu kertas kerja yang melibatkan cadangan untuk membuat vaksinasi dari rumah ke rumah terutamanya kepada golongan warga emas dan ianya sudah dihantar kepada wakil KKM, semalam," katanya.
Menurutnya, pihak Abim Kelantan bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan sudah menyediakan beberapa keperluan asas untuk menjayakan program sukarelawan ini.
“Jika pihak Kementerian Kesihatan kata bahawa pihaknya kekurangan sukarelawan untuk buat kerja ini, tiada masalah kerana kami akan bantu dan sediakan sukarelawan untuk sama-sama bantu.
“Buat masa sekarang, pihak kami sudah kumpulkan seramai 100 orang sukarelawan untuk bantu pihak Kementerian Kesihatan bagi melancarkan program ini.
“Kami sudah mempunyai sukarelawan yang dibahagikan kepada daerah masing-masing untuk memudahkan pergerakan kerana sekarang pergerakan agak terhad kerana kita perlu jaga prosedur operasi standard (SOP).
“Kami hanya tunggu panggilan, jika pihak kerajaan setuju, kami akan gerakkan sukarelawan untuk bantu program vaksinasi ini,”jelasnya.
Muhammad Aqil berkata, pendekatan ini dilaksanakan apabila berita mengenai 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin tular di media sosial.
Terdahulu, pada 24 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan seramai 10,000 penduduk Kelantan yang khususnya terdiri daripada golongan warga emas tidak dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atas beberapa faktor.
Malaysiakini juga ada melaporkan berita berkenaan Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad mencadangkan kerajaan menyediakan khidmat suntikan vaksin dari rumah ke rumah khusus untuk golongan warga emas yang tidak berupaya.
Sementara itu, Muhammad Aqil mengulas lagi bahawa tiga masalah utama kegagalan program vaksinasi telah dikenal pasti oleh pihaknya dan mereka sedang berusaha untuk menjayakan program ini.
“Kami mencadangkan supaya kita turun padang untuk program vaksinasi ini terutamanya kepada golongan warga emas kerana ada beberapa masalah yang kita kena selesaikan.
“Contohnya, kekurangan akses internet untuk daftar vaksin dan juga kekurangan pengangkutan oleh sesetengah pihak ini misalnya, golongan warga emas,” jelasnya.
Dia berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini supaya program vaksinasi di negeri Kelantan khususnya, akan berjaya.
“Saya berharap, pihak berwajib akan mempertimbangkan inisiatif ini supaya kita dapat sama-sama membantu antara satu sama lain dalam menjayakan program vaksin dan membendung penularan Covid-19 ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai