Kes gangguan seksual: Saluran sedia ada 'tak bertaring' - Exco
Kementerian Belia dan Sukan mesti menubuhkan satu saluran aduan yang efektif dalam kadar segera bagi menangani masalah gangguan seksual dalam bidang sukan, kata Exco Pembangunan Sosial Pulau Pinang Chong Eng yang juga aktivis veteran hak wanita.
Dia merujuk pendedahan atlet dan beberapa kes berprofil tinggi pada masa lalu, sambil menegaskan penyelesaian tidak akan dapat dicapai selagi tiada mekanisme yang sepatutnya untuk melindungi atlet.
Chong memetik kes bekas jurulatih terjun kebangsaan Huang Qiang yang dibebaskan daripada tuduhan rogol dan bekas jurulatih pasukan kebangsaan C Ramanathan yang didapati bersalah mencabul dua atlet junior.
“Ada alasan untuk mempercayai kes-kes sebegitu hanyalah sebahagian kecil daripada masalah besar (the tip of the iceberg), sedangkan ramai lagi yang menderita dalam diam kerana takut akan tindak balas atau tidak disenaraikan sebagai atlet (dalam kejuaraan) kerana bersuara.
“Tidak harus ada ruang untuk gangguan seksual, sama ada di rumah, tempat kerja, atau tempat latihan - (yang membolehkan) seorang ketua jabatan, jurulatih, senior, atau lawan jantina untuk mengambil kesempatan ke atas kakitangan berkedudukan lebih rendah, junior, atau lawan jantina,” kata Chong yang juga aktivis veteran hak wanita itu pada kenyataan hari ini.
Saluran sedia ada pula - seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jawatankuasa Salah Laku dan Gangguan Dalam Sukan MSN, dan juga Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia - disifatkan Chong sebagai “tidak bertaring.”
Kata Chong, meskipun membangkitkan mengenai gangguan seksual menerusi media merupakan langkah baik untuk menggalakkan kesedaran, satu mekanisme untuk menangani isu berkenaan adalah diperlukan bagi memastikan pelakunya dihukum.
“Untuk penyelesaian jangka panjang, saluran yang sewajarnya perlu ditubuhkan untuk (membolehkan) mangsa membuat aduan dan aduan itu dikendalikan dalam cara yang efektif,” katanya lagi.
Isu gangguan seksual dalam bidang sukan kembali hangat diperkatakan susulan pendedahan bekas perenang negara Cindy Ong mengenai gangguan yang pernah dia hadapi.
Beberapa perenang lain yang tidak mahu dinamakan, turut berkongsi kepada Malaysiakini berkenaan gangguan yang dihadapi mereka.
Malaysia masih belum mempunyai undang-undang gangguan seksual yang khusus.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berjanji untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan dalam sidang Parlimen yang akan datang.
BACA BERKAITAN:
Berenang dengan 'buaya' - atlet imbau gangguan seksual jurulatih
Gangguan seksual dalam sukan: 'Tiada perlindungan pada pihak didapati bersalah'
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai