Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Kerana mulut, badan binasa

Sidang media menjadi salah satu medan penting kepada sesiapa sahaja untuk memberikan penjelasan tentang duduk letak sesuatu perkara kepada umum. Dan rakan-rakan media menjadi perantara dan penyampai penjelasan itu.

Orang media adalah frontliners yang membentuk, menyusun letak penjelasan tersebut dalam wadah berita yang bernilai, jelas dan mudah difahami.

Lebih penting, apa yang diolah untuk dijadikan itu, tidak boleh bersifat prejudis, mala fide dan berunsur fitnah. Tidak berunsurkan mazmumah pendek ceritanya.

Ini tentunya tidak mudah, kerana ada ketikanya wartawan perlu mengolah seluas 360 darjah sudut pandang demi melengkapkan pemberitaan.

Sudah tentunya ada berita yang perlu ditulis mengikut kecenderungan tertentu, baik ke timur atau barat dan sebagainya.

Mereka lebih arif mengenai siapa yang bertugas di meja pengarang pada hari berita itu perlu dimurnikan dan kepada siapa pemegang taruh rumah media yang mereka bergantung harap.

Kembali ke sidang media

Sesetengah kluster organisasi memilih melakukan sidang media dengan hasrat mempromosi.

Ia menjadi pilihan kerana dirasakan paling efektif untuk mencipta berita ataupun meningkatkan promosi tentang sesuatu perkara.

Promosi produk, organisasi, sosok tubuh wakil organisasi. Boleh juga ditafsirkan sidang media sebagai promotional gambit bagi sesetengah organisasi tersebut.

Mungkin ada yang terlupa, bahawa selain mengadakan sidang media yang kelihatan cukup glamor, kita juga boleh memilih dengan menulis kenyataan media.

Waktu dulu, ia disebarkan melalui serahan tangan, pos dan faks. Namun, hari ini rata-rata lebih senang bergantung kepada email dan WhatsApp. Ciapan, posting dan lintas langsung melalui media sosial turut semakin digemari sebagai sumber berita.

Tidak dinafikan, ramai juga tersilap langkah apabila membuat keputusan melakukan sidang media demi mencapai sesuatu objektif.

Pembuat keputusan hanya menyedari kesilapan itu ketika press conference ia sedang berlangsung ataupun pascasidang.

Lebih memburukkan, natijah daripada perbuatan tersebut mengundang lebih banyak prasangka negatif dan kekeliruan.

Terlajak perahu boleh diundur

Terlajak kata lazimnya mengundang seribu satu macam kekesalan dan ada ketikanya, menyebabkan keburukan yang tiada sempadan.

Terlajak kata ketika sidang media yang dipancarkan secara langsung dan disaksikan jutaan manusia serta diulang-ulang saban hari, tentunya menjadi igauan yang amat menakutkan.

Justeru, bagaimana memperbaikinya? Bagaimana boleh seseorang yang terlajak kata dek situasi di atas, boleh mengembalikan semula kredibilitinya dan bangun semula ibarat sehelai kain yang putih?

Tentunya amat sukar. Apatah lagi sekiranya natijah ketelanjuran itu telah berjaya meremukkan banyak hati dan perasaan insan lain. Lagi parah jika remuk itu bertukar menjadi amarah dan dendam.

Pilihan yang ada bagi pesalah adalah setulus hati meminta maaf di atas kekhilafan yang berlaku. Bersegeralah memperbetulkan keadaan. Jangan berlengah, perbaiki dengan menjuruskan segala tenaga dan pemikiran untuk memulihkan luka yang tercalar.

Memperbetulkan kesilapan sebegini tidak seharusnya dibebankan sepenuhnya kepada Damage Control Department atau secara rasminya disebut Jabatan Perhubungan Awam atau Jabatan Komunikasi Strategik di sesetengah tempat.

Jangan hanya pegawai perhubungan awam sahaja yang kena bertungkus-lumus. Jika reputasi organisasi sedang dilihat dengan mata helang, maka semua warga pemegang taruh dalaman mesti menzahirkan semangat berpasukan untuk memperbetulkan keadaan.

Susunlah strategi baharu yang tuntas dan mesra alam. Jangan semberono memilih untuk berperang dengan media, mengirim letter of demand tanpa sekalipun berhasrat duduk berbincang dengan rakan-rakan wartawan, sambil menghirup cappuccino di kafe organisasi media.

‘Settle’ dengan baik

Benda boleh settle, mengapa memilih untuk tidak menyelesaikan kekusutan.

Lihatlah semula pelan komunikasi yang ada dan semua ruang lompong yang ditemui, mesti diisi dengan matlamat memposisikan segera kredibiliti organisasi ke tahap sebelumnya atau lebih baik lagi.

Pelan yang dikema skini mesti merangkumi aspek yang lebih personal touch demi memperbaharui hubungan dengan rakan-rakan media.

Bukalah buku baharu dengan key stakeholders, pugar semula program-program yang ceria serta mampu membekaskan kesan yang positif kepada reputasi dan jenama organisasi.

Pada masa yang sama, pastikan latihan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi awam dan menjalinkan perhubungan media diperkemaskan.

Lakukan ini semua dengan penuh keikhlasan. Jangan sekali-kali beranggapan bahawa organisasi media hanya memerlukan peruntukan kewangan semata-mata untuk membiayai pengoperasian bilik berita.

Duit tidak boleh membeli harga dan prinsip kewartawanan yang menjunjung etika menulis tanpa rasa takut dan pilih kasih. Ingat, mata pena lebih tajam dari mata pedang.

Struktur latihan perlu sistematik serta tidak mengesampingkan seluruh warga organisasi. Mereka juga harus diberikan pendedahan apakah mesej penting yang boleh dikongsikan dengan khalayak umum dan apakah sebaliknya. Mesejnya perlu senada, sekalipun ia mungkin tidak semerdu yang mahu didengar di cuping telinga sang pendengar.

Modul latihan juga perlu memilih barisan jurucakap rasmi organisasi serta menyediakan simulasi bersesuaian untuk membolehkan peserta dinilai keupayaan sebenar mereka.

Biarlah mereka dilatih tubi untuk menjadi jurucakap yang bersopan santun serta mampu membalas soalan dengan baik dan bijaksana.


AHMAD ‘ASRI KHALBI ialah pengamal perhubungan awam lebih dua dekad dan mantan setiausaha akhbar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.