Tak cukup dos hanya insiden terpencil, kata KJ
Khairy Jamaluddin hari ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa insiden tidak cukup dos yang melibatkan penerima vaksin AstraZeneca di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KL-WTC) baru-baru ini hanyalah kejadian terpencil.
Bagaimanapun, katanya penerima yang percaya mereka tidak diberi dos yang mencukupi dan mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu diminta menghubungi Badan bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
"Bagi apa yang berlaku di KL-WTC, individu tersebut telah diberikan dos tambahan yang setara dengan dos penuh AstraZeneca.
"Kita juga ada prosedur operasi standard yang baru, di mana sekarang pemberi vaksin perlu menunjukkan kepada penerima vaksin alat suntikan tersebut untuk menunjukkan dos yang cukup telah diberikan, dan jika penerima berpuas hati, mereka boleh meneruskan vaksinasi.
"Sekiranya ada bukti kukuh bahawa mereka kekurangan dos, mereka boleh tampil ke depan dan kita akan pastikan apakah itu benar.
"Saya boleh beri jaminan bahawa ini adalah kejadian terpencil yang berlaku," katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Baru-baru ini, seorang penerima vaksin menyatakan kebimbangan bahawa dia mungkin diberikan dos yang tidak mencukupi setelah meneliti rakaman video yang diambilnya semasa menerima suntikan AstraZeneca di pusat penerimaan vaksin pada 19 Mei lalu.
Empat hari kemudian, Anoogrehan Manoharan, yang bekerja pegawai pemasaran diberi vaksin semula setelah BP Healthcare meneliti aduannya mengenai perkara itu.
Seorang lagi penerima vaksin, Danial Abrar Bestari Abrar, yang mendapat suntikan vaksin pada hari yang sama juga membuat aduan serupa mengenai kekurangan dos sebelum mendapat suntikan tambahan.
Berikutan insiden itu, arahan dikeluarkan kepada pegawai perubatan yang menjalankan tugas di bawah ProtectHealth Malaysia untuk menunjukkan jarum suntikan vaksin kepada penerima.
Pfizer tak hanya diberikan kepada orang Islam
Sementara itu, dalam sidang media yang sama hari ini, Khairy juga menafikan dakwaan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Sukan Desa Tasik di Kuala Lumpur telah melaukan diskriminasi kepada penerima bukan Islam dengan tidak memberikan mereka vaksin Pfizer.
Ini susulan dakwaan yang tersebar di dalam talian sejak Isnin lalu, yang mendakwa hanya penerima beragama Islam diberikan vaksin Pfizer, manakala orang bukan Islam diberikan vaksin Sinovac.
Dia berkata pada hari itu, PPV Desa Tasik telah memberikan 252 dos Pfizer kepada 169 individu beragama Islam dan 83 penerima bukan Islam, manakala 691 dos Sinovac diterima oleh 142 individu beragama Islam dan 549 diterima bukan Islam.
"Ini berita benar sama sekali dan tuduhan sangat tak bertanggungjawab. Tiada sebarang pengasingan dibuat ikut agama atau bangsa, sebaliknya penerima diasingkan ikut ruang suntikan bagi pastikan tiada kesilapan," katanya.
Khairy berkata, isu itu timbul kerana di kalangan penerima beragama Islam, terdapat seramai 43 bakal jemaah haji dan petugas tabung Hajii.
Dia berkata kumpulan itu diberikan vaksin Pfizer kerana pemerintah Arab Saudi pada ketika ini hanya menerima jemaah yang telah divaksin dengan Pfizer atau AstraZeneca.
"Selaras keputusan Saudi setakat ini hanya terima Pfizer dan AstraZeneca, 42 (orang) tu diberi Pfizer pada tarikh tersebut.
"Ini sekali gus menafikan mesej tular berlaku pengasingan dasar agama atau kaum dalam PICK," tegas Khairy.
Khairy berkata kerajaan juga secara aktif bekerjasama dengan negara-negara lain dan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHo) untuk mendapatkan pengiktirafan bagi semua vaksin yang digunakan di negara ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai