ULASAN | Pesawat Israel - lintas atau risik?
Sistem pengangkutan udara telah berkembang pesat dan maju bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Sebelum pandemik Covid-19 melanda, tempat-tempat seperti Kuala Lumpur, Bali, Singapura dan Bangkok pernah diiktiraf berkali-kali oleh pelbagai media pelancongan sebagai destinasi percutian yang paling banyak dikunjungi pelancong seantero dunia.
Ruang udara negara sering kali dilewati pesawat-pesawat serantau yang ulung, terkenal dan banyak memenangi anugerah penerbangan seperti AirAsia, Thai Airways, Singapore Airlines dan Garuda Indonesia. Tidak dinafikan bahawa wabak Covid-19 telah secara langsung atau tidak langsung melumpuhkan industri ini. Kini ruang udara negara yang dahulunya sibuk telah menjadi sepi seribu bahasa.
Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial dimana kononnya pesawat perisikan Israel (Boeing 732-400) dengan nombor pendaftaran 4X-AOO telah melintasi ruang udara Malaysia melalui Putrajaya.
Ini menimbul persoalan terutama di kalangan masyarakat di Malaysia sama ada ini adalah suatu bentuk lintasan atau perisikan?
Lintasan atau perisikan?
Malaysia memiliki alur perkapalan yang terpenting di dunia, iaitu Selat Melaka yang mengunjur dari Laut Andaman sehingga ke Selat Singapura yang berbatasan dengan Laut China Selatan. Kedua-dua Selat Melaka dan Selat Singapura telah diiktiraf komuniti antarabangsa sebagai selat untuk pelayaran antarabangsa kerana kepentingannya sebagai alur maritim yang penting.
Malaysia adalah negara ahli kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 (LOSC) sejak tahun 1996. Namun, Israel bukanlah negara ahli LOSC. Namun seperti Amerika Syarikat, Israel menganggap LOSC sebagai undang-undang adat antarabangsa dan boleh terpakai kepada mereka juga tanpa perlu menjadi negara ahli kepada LOSC.
Perkara 38(1) LOSC menyatakan bahawa:
“Mana-mana kapal atau pesawat memiliki hak lintas transit untuk melintasi selat untuk pelayaran antarabangsa dan hak ini tidak boleh dinafikan.”
Menurut Perkara 38(2) LOSC, lintas transit memberikan hak kepada mana-mana kapal atau pesawat untuk melintasi mana-mana selat untuk pelayaran antarabangsa dengan bebasnya. Namun kebebasan ini hanyalah bagi tujuan lintasan sahaja.
Tambahan pula, Perkara 44 LOSC juga menyebut bahawa negara-negara pesisir selat tidak mempunyai hak untuk menghalang atau menganggu gugat pengamalan lintas transit menerusi selat untuk pelayaran antarabangsa.
Dengan kata lain, pesawat Israel tersebut boleh melintasi wilayah laut Malaysia di Selat Melaka menerusi pengamalan lintas transit yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.
Akan tetapi, apakah pesawat tersebut boleh memasuki ruang udara Malaysia apabila terbang melintasi Putrajaya tanpa keizinan pihak berkuasa tempatan yang jauh merentasi Selat Melaka?
Perjanjian transit perkhidmatan udara antarabangsa
Kedua-dua pelayaran dan penerbangan antarabangsa ditadbir oleh undang-undang antarabangsa. Peraturan bagi pelayaran antarabangsa ditentukan oleh LOSC, manakala peraturan bagi penerbangan antarabangsa diurus tadbir oleh Perjanjian Transit Perkhidmatan Udara Antarabangsa (IASTA) yang ditandatangani di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1944.
Malaysia telah menjadi negara ahli kepada perjanjian ini sejak 1945 yang telah dijalankan oleh pihak British dan diteruskan oleh pemerintah Malaysia setelah kemerdekaan pada tahun 1957, manakala Israel pula telah menjadi negara ahli pada tahun 1954.
Seksyen 1 bagi Perkara 1 IASTA memperuntukkan bahawa setiap negara yang telah menandatangani dan meratifikasi IASTA mestilah memberikan kebenaran dan kebebasan bagi negara-negara anggota yang lain hak untuk melintasi ruang udara satu sama lain.
Oleh itu, berdasarkan peruntukan-peruntukan LOSC dan IASTA, boleh dikatakan bahawa pesawat milik Israel yang melintasi ruang udara Malaysia di kedua-dua Selat Melaka dan Putrajaya tempoh hari hanyalah melakukan lintasan dari sudut pandang yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.
Tak salah berhati-hati
Pelbagai kejadian terkait insiden penerbangan telah menghantui negara Malaysia terutama sekali melibatkan Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) pesawat MH370 dan MH17.
Tujuh tahun berlalu, misteri kehilangan MH370 dan nahas tembakan MH17 masih menemui jawapan buntu dan tiada pembelaan sehingga ke hari ini.
Kini, kecoh pula di akhbar dan media sosial terutama di Malaysia yang runsing dengan laporan yang mengatakan pesawat milik Israel tersebut digunakan sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik. Ia dikatakan boleh menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersil.
Kerunsingan ini berdasarkan kepada posisi Malaysia yang menjadi salah sebuah negara di dunia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat. Selain tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, Malaysia dilihat terkehadapan membantah dan mengkritik dengan lantang keganasan yang telah dilakukan oleh pihak Israel terhadap rakyat negara Palestin.
Dek kerana faktor-faktor ini, adalah penting bagi negara Malaysia menerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia atau CAAM untuk mengambil perhatian yang serius dan berhati-hati dengan kehadiran pesawat ini yang pada dasarnya adalah penerbangan biasa yang dibenarkan oleh undang-undang antarabanga.
Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai reputasi antarabangsa yang baik dan sebagai negara Ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), keutuhan dan kedaulatan Malaysia juga mestilah dihormati oleh semua, sepertimana Malaysia menghormati negara-negara lain.
Justeru, baik pelintasan mahupun perisikan – Malaysia perlulah mengambil langkah berhati-hati bagi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyat keseluruhannya.
PROFESOR MADYA DR MOHD HAZMI MOHD RUSLI dan DR FAREED MOHD HASSAN adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai