Sekatan keluar masuk antara Sabah dan Labuan dikuat kuasa
Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan sekatan pergerakan keluar masuk antara Sabah dan Labuan berkuat kuasa serta-merta berikutan kewujudan Covid-19 varian India yang dikesan di Wilayah Persekutuan itu.
Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata pengecualian yang diberikan melibatkan pergerakan perkhidmatan dan barangan perlu, keselamatan dan kesihatan atau perubatan serta telah mendapat kebenaran khas.
"Pengangkutan feri awam juga hanya bagi keperluan perkhidmatan perlu dan barangan perlu sahaja. Permohonan kebenaran (pergerakan Sabah dan Labuan) bagi pasangan jarak jauh juga tidak akan dipertimbang bermula 28 Mei hingga 7 Jun," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata faktor utama peningkatan kes Covid-19 di Sabah ialah kegagalan orang awam dan pemilik premis perniagaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka.
"Sehubungan itu, pemilik dikehendaki mempamerkan SOP Covid-19 di setiap premis perniagaan masing-masing.
"Mana-Mana premis yang mempunyai peralatan hebahan perlu memberi peringatan kepada pelanggan mereka untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hebahan berkala ini dilakukan dalam setiap satu jam," katanya.
Masidi, yang juga jurucakap rasmi berkaitan Covid-19 Sabah, berkata pihak berkuasa tempatan akan membekalkan poster ke setiap premis untuk dipamerkan yang mengandungi nombor telefon aduan dan boleh dihubungi orang awam jika berlaku ketidakpatuhan SOP.
"Pihak penguatkuasa juga akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya," kata beliau.
Mengulas perkembangan Covid-19, Masidi berkata Sabah hari ini merekodkan 229 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 61,057 kes manakala kes sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 81 orang menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 58,968.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai